suria

Raja Muda Perlis Berbasikal Ke Rumah Wira Emas Paralimpik

Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua, kanan) berkenan mendengar pengalaman yang diceritakan oleh pemenang Pingat Emas Paralimpik Rio 2016 Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (tengah) ketika singgah ke rumah atlet itu sempena Program Kayuhan Sehati Sejiwa Seranta (Felda) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Felda Rimba Mas pada 27 September 2016. - BERNAMA

PADANG BESAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mengunjungi kediaman atlet Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang menyumbang pingat emas negara pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini.

Lawatan istimewa baginda adalah bersempena aktiviti Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli:Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali Ke-57 tahun ini semalam.

Baginda bertitah kejayaan atlet berkenaan merupakan kebanggaan dan menjadi inspirasi buat rakyat Perlis untuk mencipta kejayaan di mata dunia, walaupun dalam keadaan kurang upaya.

Baginda bertitah Perlis juga bertuah kerana mempunyai jaguh 'terbang' Abdul Latif Romly yang turut menghadiahkan pingat emas pada temasya berprestij itu.

Dalam lawatan ringkas itu, Mohamad Ridzuan mempersembahkan ole-ole berupa sebotol Coca-cola dari Rio kepada Tuanku Syed Faizuddin, yang mempunyai hobi menyimpan koleksi Coca-cola dari serata dunia.

Selepas majlis itu, Raja Muda yang diringi pihak pengurusan Felda dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) serta lebih 300 peserta berbasikal sejauh 18 kilometer dalam 'Program Kayuhan Sehati Sejiwa Seranta (Felda) dan KUIPs' merentasi sekitar kawasan Felda Mata Ayer di sini untuk menyerahkan sumbangan zakat.

Baginda mengunjungi tiga rumah asnaf bagi menyerahkan sumbangan zakat selain meninjau program motivasi khas untuk calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dalam kalangan pelajar terpilih anjuran KUIPs di Dewan Felda Mata Ayer.

Raja Muda dan konvoi berbasikal kemudian meneruskan kayuhan untuk merasmikan Program Sahabat Permuafakatan Siswa-siswi Felda (PERSADA) bersama KUIPs dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di perkarangan Wisma MAIPs Uniciti Sungai Chuchoh, di sini.

Keberangkatan tiba baginda yang juga Tuanku Canselor KUIPs dan UniMAP disambut oleh Pengarah Seranta (Felda) Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohamad Khairudin Mohamad dan Timbalan Pengarah Besar Felda Anuar Malik bersama-sama Rektor KUIPs Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam.

Program kayuhan berkenaan berakhir dengan solat Maghrib di Musolla Al-Saodah Uniciti Sungai Chuchoh dan penyerahan sumbangan zakat MAIPs kepada 14 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid-masjid berdekatan. - BERNAMA

Artikel Lain