suria

Peminat Teruja Jumpa 'King Eric'

Peminat tidak melepaskan peluang untuk berjumpa dengan Cantona selain merakamkan gambar dan mendapatkan tandatangan sebagai kenangan. foto WAN MOHIZAN WAN HUSSEIN/The Star

GEORGE TOWN:  Peminat bola sepak menunggu selama tiga jam untuk bertemu legenda Manchester United, Eric Cantona di Queensbay Mall di sini.

Malah peminat yang hadir turut mengambil kesempatan bergambar dan mendapatkan tandatangan Cantona atau lebih dikenali dengan jolokan 'King Eric' sebagai kenangan.

Shahhidan Wasli, 32, antara peminat yang datang dari Kuala Lumpur semata-mata untuk bertemu idolanya itu.

"Apabila saya diberitahu saya memenangi satu pertandingan di Facebook, saya amat gembira. Saya merupakan penyokong setianya sejak berusia 15 tahun lagi.

"Dia menurunkan tandatangannya pada dua jersi saya," kata penganalisis kewangan itu.

Bagi pelukis, Mohd Yassim Naszri, 32, dia amat gembira kerana anak lelakinya berusia tujuh tahun turut berpeluang bertemu bekas pemain United itu.

"Dua abang dan kakak ipar saya adalah penyokong tegar MU. Kami sanggup datang ke sini dari Perak untuk bertemu dengan Cantona. Kami akan bertolak balik esok (hari ini). Ia perjalanan yang berbaloi," katanya.

Dr B. Surendran dari Alor Setar, Kedah berkata dia datang semata-mata mahu mendapatkan tandatangan legenda united itu pada jersi pertamanya.

"Saya ada tiga jersi tetapi ini adalah jersi pertama saya ketika berusia 12 tahun. Ia amat berharga," katanya.

Siri jelajahnya ke negara ini adalah untuk mempromosikan produk Syarikat Telekomunikasi YTL Sdn Bhd (Yes).

Cantona turut akan bertemu peminatnya di East Coast Mall, Kuantan pada pukul 11.30 pagi Ahad dan pusat membeli belah Lot 10, Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.30 petang Ahad.

Artikel Sebelum

Rooney Tetap Kapten - Mourinho

Artikel Berikut

Artikel Lain