Amerika Syarikat menamatkan dominasi Eropah apabila merangkul kejuaraan golf, Piala Ryder yang kali terakhir dimenangi pada 2008. Pemain muda AS, Ryan Moore mengesahkan kemenangan apabila menewaskan bintang England yang mewakili Eropah, Lee Westwood pada tiga lubang terakhir. Pasukan AS yang diketuai Davis Love menguasai kejohanan edisi ke-41 itu sejak hari pertama, tampil dengan lebih bertenaga dalam acara individu apabila pemain harapan negara itu, Patrick Reed, Rickie Fowler, Brandt Snedeker dan Brooks Koepka menyumbang mata berharga pada hari terakhir kejuaraan tersebut. Kelebihan beraksi di hadapan kira-kira 50,000 penyokong sendiri ternyata memberi kelebihan besar buat pasukan AS untuk mencatat kemenangan bergaya 17-11 selepas tiga hari bertarung melibatkan kategori foursome, fourball dan individu. Sebelum ini, pasukan Eropah memenangi Piala Ryder selama tiga edisi berturut-turut pada 2010, 2012 dan 2014.