suria

Chile Kena Gantung Kerana Sorakan Anti-Homoseksual Penonton

Perlawanan Chile menentang Bolivia pada saingan kelayakan Piala Dunia yang berkesudahan seri tanpa jaringan menyebabkan negara itu digantung Fifa kerana sorakan anti-homoseksual penonton pada September lalu.

ZURICH: Akibat sorakan anti-homoseksual penonton Chile, negara itu digantung satu perlawanan tanpa stadium dan didenda bersama lima negara lain.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) membuat keputusan itu pada Rabu.

Hukuman ini berdasarkan kesalahan yang dilakukan pada perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Bolivia pada September lalu.

Mengikut rekod, pada awal tahun ini, Chile pernah digantung dua perlawanan dan salah satu daripadanya melibatkan kesalahan sama.

Menurut badan induk itu, Chile sudah bermain satu perlawanan di luar stadium nasional di Santiago dan kini  perlu mencari lokasi baru bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Venezuela, Mac tahun depan.

"Kerana Chile sudah pun melakukan satu lagi pelanggaran dalam tempoh percubaan yang dikenakan pada Mei 2016, larangan bermain di Stadium Nasional Julio Martinez Pradanos di Santiago bagi perlawanan selepas ini akan dilakukan," kata Fifa dalam satu kenyataan.

Chile juga didenda secara keseluruhan AS$66,421 dolar (RM275,570) bagi dua kesalahan yang dilakukan penyokong mereka yang didapati bersalah menggunakan 'sorakan menghina' ketika pertembungan dengan Paraguay, September lalu.

Chile ketika ini menghuni tangga ketujuh kempen kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan selepas mengumpul 11 mata daripada lapan perlawanan, dua mata daripada kedudukan empat teratas yang akan mengesahkan laluan terus ke Russia pada 2018.

Fifa dalam pada itu turut mendenda Honduras 65,000 Swiss francs (RM275,544), El Salvador 45,000 Swiss francs (RM190,761), Mexico dan Peru, 30,000 Swiss francs (RM127,174) serta Brazil 20,000 Swiss francs (RM84,782) atas kesalahan sama.

Itali, Argentina, Kanada, Paraguay dan Albania juga didenda di antara 20,000 ke 50,000 Swiss francs (RM84,782 ke RM211,957) atas "Insiden membabitkan diskriminasi dan semangat tidak kesukanan yang dibuat penyokong mereka."

Chile, Fifa

Artikel Berikut

Artikel Lain