KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik Rio baru-baru ini, Abdul Latif Romly mengakui sangat teruja namun pada masa yang sama takut dengan gelaran jutawan muda hasil ganjaran yang diperoleh atas kejayaan berkenaan. Abdul Latif, 19, meraih pingat emas dalam acara lompat jauh T20, menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) berjumlah RM1 juta dan beberapa sumbangan syarikat korporat termasuk Naza Corporation Holdings yang memberikan sebuah suite kediaman di Trion 888, Equine Park bernilai RM350,000 dan sebuah kereta Kia Sportage berharga RM121,888 ekoran kejayaaannya di Rio de Janeiro, Brazil. Atlet kelahiran Perlis itu berkata, beliau tidak menyangka kejayaan itu telah mengubah hidupnya sekeluarga hasil daripada titik peluhnya sendiri. "Terima kasih kepada semua ganjaran yang diberikan kepada saya dan rakan-rakan. Saya gembira tetapi takut juga sebab saya masih muda. "Saya akan pastikan kewangan saya diurus dengan baik. Saya juga ingat pesanan semua supaya terus melakar kejayaan dan bersedia menyahut seruan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk beraksi di Sukan SEA dan memecah rekod kebangsaan," katanya kepada pemberita di Menara Naza, persiaran KLCC di sini. Selain Abdul Latif, turut mendapat hadiah yang sama daripada Naza Corporation Holdings adalah Muhammad Ziyad Zolkefli dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, masing-masing meraih pingat emas dalam acara lontar peluru F20 dan 100 meter lelaki T36. Pemenang pingat gangsa, Siti Noor Radiah Ismail pula menerima sebuah kereta Kia Rio Sedan bernilai RM72,888 pada majlis penyampaian yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Sementara itu, Muhammad Ziyad percaya limpahan ganjaran yang diterima tidak akan menjejaskan prestasi serta tanggungjawabnya kepada negara. "Sebelum kami ke Rio, kami tidak tahu akan mendapat ganjaran seperti ini, kami sangat bersyukur telah diberi penghargaan ini. "Selepas ini kami akan teruskan melakukan yang terbaik dan tidak memikirkan ganjaran yang akan diperoleh. Kami berjuang demi maruah negara dan semua yang banyak membantu atlet seperti kami," kata Muhammad Ziyad. Dalam pada itu, Mohamad Ridzuan yang sukar untuk berkomunikasi, turut menzahirkan perasaan syukur atas semua sumbangan yang diperoleh beliau. - Bernama