LONDON: Pertembungan antara dua musuh tradisi, Manchester United dan Liverpool masih berbaki seminggu lagi, tetapi kehangatan perlawanan itu sudah mula dirasai dalam kalangan penyokong tegar kelab berkenaan. Ternyata penyokong Liverpool terlebih dahulu menyuarakan kebimbangan sebaik-baik sahaja pengadil perlawanan tersebut dinamakan iaitu Anthony Taylor. Taylor sudah mengadili tujuh perlawanan berprofil tinggi pada musim ini dan mengeluarkan 23 kad kuning bagi tempoh sama. Namun kekurangan pengalaman pengadil berusia 37 tahun itu bukan menjadi kebimbangan penyokong Liverpool tetapi fakta yang menunjukkan Taylor berasal dari Greater Manchester. Taylor yang dipercayai menyokong pasukan kerdil Altrincham, tidak mengadili perlawanan Liverpool sejak Reds menang 1-0 ke atas Stoke City pada separuh akhir pertama Piala Liga, Januari lalu. Dia disenarai sebagai pengadil liga sejak Januari 2013 dan perlawanan pada 18 Oktober ini merupakan yang pertama membabitkan pertemuan antara Manchester United dan Liverpool. Pengumuman Taylor sebagai pengadil ternyata mengundang rasa tidak puas hati penyokong Liverpool yang menyuarakan kekecewaan menerusi laman sosial. Malah portal berita kelab itu, Echo turut mempertikaikan keputusan untuk melantik Taylor sebagai pengadil perlawanan kedua-dua kelab terbabit.