suria

Bawa Pulang Nicol, Tanya Empunya Badan - KBS

Gambar fail Nicol David.

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada membawa pulang ratu skuasy negara, Datuk Nicol David untuk kembali berlatih di Kuala Lumpur akan diserahkan sepenuhnya kepada pemain itu. 

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali berkata, perkara itu perlu diserahkan sendiri kepada Nicol untuk menentukannya kerana pemain lebih mengetahui apa yang diperlukan. 

"Setiap prestasi dan persembahan itu bergantung kepada banyak faktor seperti tempat latihan, persekitaran setempat dan ekosistem. 

"Jadi sekiranya beliau (Nicol) selesa berlatih di Amsterdam, Belanda yang mampu membuatnya beraksi dengan cemerlang dan terbaik, itu yang sepatutnya dilakukan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) yang mahu Nicol kembali berlatih di sini bagi meningkatkan semula prestasi beliau. 

Lokman turut yakin Nicol akan kembali bangkit daripada kekecewaan di Terbuka Amerika Syarikat yang menyaksikan beliau terkandas di peringkat suku akhir kepada pemain Mesir, El Welily. 

"Beliau mungkin perlu perbaiki dari segi teknikal dan psikologi untuk kembali digeruni lawan dan berada di puncak prestasinya," katanya.

Lokman ditemui pada Majlis Batik Fun Run 2016 yang dianjurkan Yayasan Budi Penyayang Malaysia yang turut disertai Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta keluarga.

Program yang disertai hampir 2,000 peserta itu bersempena dengan kempem FIT Malaysia untuk mempromosi gaya hidup sihat di samping mengekalkan budaya pemakaian batik sebagai seni warisan kebangsaan menerusi 'fun walk'. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain