suria

Hukuman Ringan Pemanah Sukma Patuhi Kod WADA - Adamas

Nishel Kumar.

KUALA LUMPUR: Hukuman gantung enam dan lapan bulan ke atas dua pemanah yang gagal dalam ujian doping sewaktu Sukan Malaysia (Sukma), Julai lepas adalah mematuhi kod Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

Ketua Unit Agensi Antidoping Malaysia (Adamas), Nishel Kumar berkata hukuman yang dibuat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) adalah seimbang dengan kesalahan yang dilakukan dua atlet itu yang merupakan pemenang pingat di temasya dwitahunan tersebut.

"Keputusan NAAM itu mematuhi kod WADA. Mereka diuji positif dengan sibutramine, diklasifikasikan sebagai bahan larangan, yang tidak mempunyai kesan meningkatkan prestasi atlet seperti steroid. Jadi, hukuman yang boleh dikenakan adalah penggantungan maksimum dua tahun dengan amaran keras.

"Bagi kes ini, kedua-dua atlet ini tahu apa yang mereka makan serta membuktikan puncanya dan jawatankuasa berpendapat ia berpunca daripada kejahilan dan kesalahan yang tidak disengajakan. Jadi, keputusan itu adalah tepat.

"Bagaimanapun, jika mereka gagal menbuktikan bagaimana bahan larangan itu memasuki tubuh mereka, hukuman maksimum dua tahun dan amaran keras boleh dikenakan," kata Nishel kepada Bernama.

Pada Ahad, NAAM mengenakan hukuman gantung enam dan lapan bulan ke atas dua pemanah, masing-masing dari Terengganu dan Kedah, selepas gagal dalam ujian doping sewaktu Sukma, sesuatu yang dianggap ringan bagi kesalahan doping.

Merujuk kepada beberapa kes antarabangsa membabitkan sibutramine, Nishel berkata hukuman yang dikenakan biasanya antara empat dan lapan bulan, termasuk empat bulan yang dikenakan Persekutuan Wushu Antarabangsa ke atas pemenang pingat emas Malaysia di Sukan Asia 2014, Tai Cheau Xuen.

Menurutnya, sibutramine adalah bahan yang mudah ditemui dalam pil pelangsingan, yang mana atlet sering tidak perasan kehadiran bahan larangan itu dalam produk berkenaan.

"Atlet perlu lebih berhati-hati terhadap apa yang mereka makan secara peribadi walaupun bukan untuk meningkatkan prestasi. Di sinilah bahayanya.

"Mereka perlu merujuk kepada pakar diet dan pemakanan di Institut Sukan Negara (ISN) sebelum mengambil sebarang makanan tambahan walaupun jika tiada kena mengena dengan sukan. Atlet dari negeri juga boleh berbuat demikian di pusat ISN negeri," katanya.

Nishel berkata Adamas akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi mewujudkan kesedaran dan membimbing atlet di peringkat akar umbi bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Suruhanjaya Anti Doping Majlis Olimpik Asia (OCA), Tan Sri Dr M. Jegathesan, berkata ada peruntukan dalam Kod WADA yang diperkenalkan pada 2015, bagi mengurangkan hukuman seimbang dengan kesalahan jika bukan atas kesalahan atlet atau adanya unsur kejahilan.

"Ini terutamanya dalam kes kategori bahan larangan yang sering terdapat dalam perubatan umum, yang disediakan di kaunter atau makanan tambahan.

"Pengurangan boleh diberikan oleh panel pendengaran yang bersesuaian tertakluk kepada penemuan sewaktu pengurusan keputusan atau proses pendengaran.

"Pihak berkaitan atau pemegang taruh yang mungkin tidak setuju dengan pengurangan itu boleh merayu kepada badan berkaitan termasuk Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS)," kata Dr Jegathesan yang juga Penasihat Perubatan Persekutuan Sukan Komanwel. - BERNAMA 

WADA, Adamas, pemanah Sukma

Artikel Sebelum

Artikel Lain