ODENSE (Denmark): Lee Chong Wei bakal meraikan hari ulang tahunnya kali ini di Terbuka Denmark selepas mara ke pusingan kedua. Chong Wei yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya ke-34 pada Jumaat bangkit dari kekalahan dalam aksi menentang pencabarnya, Wei Nan dengan 16-21, 21-19, 21-11 dalam perseorangan lelaki pusingan pertama di Odense Sports Park. "Saya tewas di tangan Wei Nan pada pusingan kedua tahun lepas dan saya fikir saya akan ditewaskan lagi... dia bermain dengan baik," kata Chong Wei. "Jurulatih (Hendrawan) beritahu supaya bermain dengan corak permainan saya selepas ketinggalan di belakang dengan margin yang besar dalam permainan kedua... saya terus bertarung dan bernasib baik menang. "Dalam pada itu, saya meraikan hari ulang tahun kelahiran saya di sini, di Denmark, dan saya mahu ia menjadi istimewa pada tahun ini... ia mungkin penyertaan saya yang terakhir dalam Terbuka Denmark," katanya. Chong Wei akan menentang pemain India, H.S Prannoy pada pusingan kedua, Khamis. Jaguh badminton negara berkenaan pernah menewaskan pemain India itu pada Terbuka India 2013. Sementara itu, dalam perlawanan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mara ke pusingan kedua selepas menewaskan beregu China, Liu Cheng-Zhang Nan dengan 21-18, 18-21, 21-18.