suria

Stoke, Everton, Moyes, Bellamy Paling Menjengkelkan - Webb

LONDON: Bekas pengadil terkenal, Howard Webb mendedahkan dia tidak suka mengendalikan perlawanan di Stoke City dan Everton ketika dia masih menjadi pengadil.

Malah lebih mengejutkan lagi, Webb menamakan David Moyes sebagai pengurus yang paling menjengkelkan kerana terlalu banyak membuat aduan sepanjang kariernya mengendalikan perlawanan di Liga Perdana Inggeris.

Dalam wawancara eksklusif bersama akhbar Daily Mirror, Webb membuat pendedahan tentang perkara-perkara yang menjengkelkan ketika masih bergelar sebagai pengadil.

Sebagai rekod, Howard Webb telah mengadili hampir 1,000 perlawanan bola sepak Inggeris , Eropah dan juga antarabangsa.


Ketika ditanya penyokong mana yang beliau kurang gemari, Webb yang telah mengadili lebih 1,000 perlawanan bola sepak peringkat tempatan, Eropah dan antarabangsa, terus menuding jari kepada penyokong Everton dan Stoke City.

“Peminat Stoke dan Everton sangat membenci saya. Kedua-duanya penyokong kelab itu sangat fanatik untuk menyokong apa yang pasukan mereka lakukan walaupun terhadap perkara yang salah.

“Stoke City adalah pasukan yang memiliki reputasi baik, namun mereka sentiasa menyukarkan tugas pegawai perlawanan dan juga pasukan pelawat kerana penyokong mereka sentiasa mengambil kesempatan.

“Everton merupakan satu lagi kelab yang hebat. Saya suka ke sana kerana Everton mempunyai ramai penyokong. Tetapi mereka terlalu fanatik.

“Satu perkara yang sentiasa dihadapi pengadil ketika bertugas untuk perlawanan Everton, penyokong akan mengejek kami setiap kali pemain mereka dikenakan tindakan.

"Penjaga garisan juga tidak terkecuali menjadi mangsa provokasi penyokong Everton.

“Bagi saya, Everton dan Stoke City adalah dua tempat yang paling sukar untuk pengadil melaksanakan tugas dengan baik," katanya.


Menyentuh tentang pengurus yang paling menjengkelkan, Webb menamakan Moyes kerana pengurus kelahiran Scotland itu sentiasa meluahkan rasa tidak berpuas hati terhadap keputusan pengadil.

“Moyes merupakan pengurus yang sangat tidak suka dengan profesion pengadil. Dia terlalu cepat untuk mengkritik keputusan saya.

“Jadi, dalam Liga Perdana Inggeris, saya rasa David Moyes adalah orang yang paling banyak mengkritik keputusan saya.”

Bagi kategori pemain pula, Webb menamakan pemain yang tidak disangka walaupun wartawan Daily Mirror menyangka dia akan menyebut nama Joey Barton ataupun Robbie Savage.


Webb berkata Savage dan Barton bukanlah pemain yang seteruk disangka sebaliknya pemain yang sentiasa menjengkelkan adalah Craig Bellamy.

"Bellamy sentiasa membuatkan saya 'panas hati' dan hubungan kami sangat dingin tidak kira di padang atau luar padang.

"Dia seorang pemain bola sepak yang hebat dan mungkin seorang yang mesra di luar padang, tetapi apabila beraksi di atas padang, Bellamy selalu bersikap agresif dan sentiasa mahu mendengar penjelasan orang lain," katanya.

Artikel Lain