PENGURUS Manchester United Jose Mourinho berkata jika pasukannya menjaringkan gol dalam perlawanan menentang bekas kelabnya, Chelsea, dia tidak akan 'menggila' meraikannya. "Saya mempunyai kematangan untuk mengawal emosi," kata Mourinho. "Jika pasukan saya menjaringkan gol saya akan 'menggila' meraikannya? Tidak. "Adakah saya akan menunjukkan tindak balas negatif jika orang ramai mempunyai sesuatu yang negatif untuk saya? Tidak." Perlawanan pada Ahad adalah penampilan pertama Mourinho di Stamford Bridge sejak dipecat pada Disember 2015, ketika kelab itu berada di kedudukan ke-16 dalam carta Liga Perdana Inggeris. Ia juga merupakan kali pertama dia kembali sejak menyelesaikan tuntutan diskriminasi dengan bekas doktor skuad Chelsea Eva Carneiro, di mana jurulatih dari Portugal itu marah apabila Carneiro berada di atas padang untuk merawat Eden Hazard dalam perlawanan menentang Swansea pada Ogos 2015. "Apabila beberapa pengurus meninggalkan kelab, mereka suka 'mencuci pakaian kotor', kembali untuk bercakap dan bercakap dan bercakap tentang apa yang telah berlaku. "Saya telah meninggalkan kelab dengan perasaan yang sangat baik. Saya memberikan segala-galanya untuk kelab. Saya mahu menyimpan kenangan yang baik-baik. Dan di Chelsea saya mempunyai banyak kenangan. "Perkara-perkara yang lain, saya tidak lupa, saya menyimpannya. Tetapi untuk diri sendiri." Pemilik Chelsea Roman Abramovich dua kali melantik Mourinho sebagai pengurusnya. Dalam kedua-dua keadaan, dia telah dihadiahkan dengan gelaran Liga Perdana Inggeris. Namun dua kali juga orang kaya Rusia ini memecatnya. Mourinho berkata mereka tidak pernah berhubung rapat. "Kami sentiasa mempunyai hubungan pemilik-pengurus. "Hubungan yang sangat dihormati, tetapi dia tidak pernah menjadi kawan saya. Kami tidak pernah rapat antara satu sama lain." Mourinho yang memenangi tiga gelaran Liga Perdana, Piala FA dan tiga Piala Liga semasa dua kali bersama Chelsea berkata, dia tidak peduli mengenai sambutan daripada peminat. "Saya tidak boleh kata saya peduli kerana saya mempunyai tugas untuk dilakukan dan saya akan lebih fokus kepada permainan," katanya. "Apa yang saya harapkan? Saya tidak tahu. Mereka mungkin berfikir tentang saya, mengimbas hubungan yang hebat dan menunjukkan tindak balas yang baik. "Mereka boleh lihat saya dan berkata 'selama 90 minit dia adalah pengurus Manchester United dan dia bermain menentang kami, jadi dia bukan seseorang yang kami suka. "Saya akan sentiasa menghormati mereka."