suria

Terengganu, PDRM Turun Ke Liga Perdana Musim Depan

Pemain pertahanan import Sarawak, Teah Baysah Dennis (tengah) mengasak pemain PDRM pada saingan Liga Super di Stadium Negeri, Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Aksi terakhir saingan Liga Super musim ini menyaksikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Terengganu turun ke Liga Perdana musim depan selepas menduduki tangga tercorot liga, Sabtu malam.

Terengganu menduduki tangga terakhir liga dengan 19 mata setelah tewas kepada Pulau Pinang 0-1 hasil jaringan Faizat Ghazli pada minit ke-88 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. 

Pulau Pinang berada di tangga ke-10 dengan 22 mata. 

Di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak mengalahkan PDRM 2-1, sekali gus meletakkan pasukan tuan rumah di tangga kelapan liga dengan 24 mata.

Dua gol Sarawak dijaringkan Gilmar Jose Da Silva Filho pada minit ke-45 dan Nur Shamie Iszuan Amin pada minit ke-86, manakala gol tunggal PDRM menerusi Guilherme De Paula Lucrecio pada minit ke-27.

PDRM di tangga kedua tercorot liga dengan 21 mata, manakala Pahang terselamat apabila berada di kedudukan kesembilan setelah mengumpul 24 mata.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Pahang dan T-Team seri 1-1 hasil jaringan Faysal Shayesteh pada minit ke-10, manakala gol tuan rumah pada minit ke-82 oleh Patrick Dos Santoz Cruz.

Sementara itu, juara liga musim ini Johor Darul Ta'zim (JDT) menambah tiga mata untuk terus mengungguli carta dengan 58 mata selepas menang ke atas pasukan tuan rumah, Selangor 2-1 di Stadium Shah Alam.

Gol JDT dijaringkan Pereyra Diaz pada minit ke-63 dan Mohd Amri Yahya pada minit ke-77, manakala gol tunggal Selangor menerusi Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-70. 

JDT juga mencatat rekod apabila beraksi tanpa kalah sepanjang 22 perlawanan Liga Super musim ini.

Selangor pula menduduki tangga kelima dengan pungutan 28 mata.

Kelantan kekal di kedudukan keempat liga dengan 29 mata, menamatkan aksi dengan seri 2-2 menentang Perak di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

The Red Warrior membuka jaringan pada minit ke-38 menerusi Blazhe Ilijoski dan gol kedua pada minit terakhir perlawanan. 

Dua gol The Bos Gaurus dijaringkan Shahrul Mohd Saad pada minit ke-53 dan Mohd Fazrul Hazli pada minit ke-66.

Perak berada di tangga keenam liga dengan 27 mata. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain