BEKAS penyerang England, Michael Owen meragui keupayaan bintang Leicester City, Jamie Vardy yang disifatkan bernasib baik kerana menjaringkan gol pada musim lalu.
Vardy menjadi tonggak penting buat pasukannya menjuarai Liga Perdana Inggeris pada musim lalu selepas menjaringkan 24 gol tetapi musim baharu menyaksikan penyerang berusia 29 tahun itu masih masih memburu gol pertama selepas 11 perlawanan.
Kemelut prestasi yang dialaminya itu sejak awal musim ini mengundang keraguan kepada Owen yang turut menyifatkan Vardy bukan penyerang semula jadi yang memiliki penyudah baik.
Owen yang berada di senarai ketujuh penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris turut mengakui dia tidak yakin dengan kemampuan Vardy itu.
"Walaupun dia menjaringkan banyak gol pada musim lalu, saya masih belum yakin dengan kemampuannya sebagai penyerang semula jadi.
"Mungkin Vardy bernasib baik kerana menjaringkan gol pada musim lalu dan perkara yang sama tidak menjadi kali ini.
"Dia banyak menyumbang kepada pasukan dengan larian pantas dan memberi tekanan kepada lawan, tetapi kita melihat perbezaan yang ketara pada musim ini.
"Vardy merupakan jenis penyerang yang melihat bola dan terus melepaskan rembatan dan untuk menjadi pemain seperti itu, anda perlukan sedikit tuah," katanya.