suria

Croneborg, Riesler Juarai Ironman Malaysia Langkawi 2016

Diana Riesler dari Jerman berjaya mempertahankan kejuaraannya apabila muncul Johan Ironman Langkawi Kategori Wanita 2016 buat kali ketiga berturut-turut apabila menamatkan kesemua disiplin dengan catatan masa 09:25:33 pada Sabtu. Foto Bernama

LANGKAWI: Ironman Malaysia Langkawi 2016 menjadi pentas terbaik menunaikan impian bagi peserta Sweden, Frederik Croneborg dan Diana Riesler dari Jerman apabila dinobatkan juara kejohanan edisi ke-14 itu.

Croneborg yang hanya mampu mendapat tempat kedua dalam dua kejohanan sebelum ini menepati ramalan menjuarai kategori lelaki dengan catatan masa lapan jam 39 minit 11 saat. 

“Ini kemenangan terbesar dalam karier saya dan mungkin kejohanan paling sukar di mana saya telah melakukan yang terbaik kerana tidak mahu lagi menamatkan perlumbaan di tempat kedua," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan itu. 

Atlet Brazil, Thiago Vinhal terpaksa akur dengan kehebatan Croneborg dengan mengakhiri perlumbaan itu di tempat kedua dalam masa 8:39:44s di depan Kaito Tohara (Jepun) yang menduduki tempat ketiga (8:43:05). 

Sementara itu, Riesler mencipta hatrik apabila merangkul kejuaraan kategori wanita dengan masa 9:25:33s, sekali gus mengulangi kejayaannya menjadi johan pada dua edisi sebelum ini.

Bagi Riesler, kejayaan yang diraih pada Sabtu membuktikan kesungguhannya untuk mempertahankan kejuaraan dengan menamatkan ketiga-tiga disiplin di hadapan atlet lain dalam kategori itu. 

“Saya dapat berenang dengan agak baik, namun displin berbasikal agak sukar dengan keadaan panas dan berbukit. Namun hujan semasa acara larian memberi kelegaan kepada saya," katanya.

Rakan senegara Riesler, Mareen Hufe menamatkan perlumbaan itu di tempat kedua dengan catatan 9:35:23s dan tempat ketiga diduduki Laura Siddall dari United Kingdom dengan 9:37:50s.

Ironman Malaysia Langkawi 2016 menjadi antara siri untuk memilih 40 peserta terbaik bagi bertarung di Kejohanan Ironman Dunia di Kaliua-Kona, Hawaii tahun depan.  

Seramai 1,100 peserta dari 63 negara menyertai Ironman Malaysia Langkawi membabitkan tiga disiplin perlumbaan iaitu berenang sejauh 3.8km,  berbasikal 180km dan berlari sejauh 42.2km.

Keputusan:

Profesional lelaki: 

1. Fredrik Croneborg (Sweden) 8:39:11

2. Thiago Vinhal (Brazil) 8:39:44

3. Kaito Tohara (Jepun) 8:43:05

4. Daniil Sapunov (Ukraine) 8:44.59

5. Jeremy Jurkiewicz (Perancis) 8.46.59

Profesional Wanita:

1. Diana Riesler (Jerman) 9:25:33

2. Mareen Hufe (Jerman) 9:35:23

3. Laura Siddall  (United Kingdom) 9:37:50

4. Tine Holst (Denmark) 9:41:47

5. Erin Green (Amerika Syarikat) 10:11:53

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain