suria

Terbuka China: V Shem-Wee Kiong Tersingkir Awal

V Shem dan Tan Wee Kiong tersingkir awal pada aksi Terbuka China, Rabu.

KUALA LUMPUR: Beregu nombor satu dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menerima tamparan hebat apabila tersingkir awal pada Kejohanan Terbuka China pada Rabu.

Pada perlawanan pusingan pertama itu, V Shem-Wee Kiong yang turun sebagaiberegu pilihan kedua kejohanan, terpaksa akur dengan ketangkasan pasangan tuan rumah, Zhang Nan-Liu Cheng walaupun memenangi set pertama 21-19.

Mereka tewas dalam dua set seterusnya 16-21, 22-24 pada pertarungan yang berlangsung selama satu jam lima minit.

Pasangan negara itu berjaya merampas status nombor satu dunia daripada beregu Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong, yang terkeluar dari ranking dunia selepas Yong Dae mengumumkan persaraan daripada beraksi di pentas antarabangsa, baru-baru ini. 

Mengalami nasib sama adalah beregu lelaki profesional negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang tumpas 21-19, 17-21, 13-21 menentang pasangan Mads Conrad Petersen-Mads Pieler Kolding dari Denmark, demikian menurut laman web kejohanan www.bwf.tournamentsoftware.com.

Bagaimanapun, pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan Lin Yu Hsien dari Taiwan 19-21, 21-15, 21-11.

Menanti beliau di pusingan seterusnya adalah Guo Kai dari China yang menyingkirkan Kazumasa Sakai dari Jepun 21-14, 11-21, 21-5. Seorang lagi wakil perseorangan lelaki Malaysia, Zulfadli Zulkiffli pula ditunjuk jalan keluar oleh Hu Yun dari Hong Kong apabila tumpas 18-21, 19-21.

Turut cemerlang beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang hanya mengambil masa 26 minit menundukkan Xiao Min Lin-Wu Fang Chien dari Taiwan dengan straight set 21-8, 21-10.

Vivian-Khe Wei akan menentang beregu pilihan kedua, Jung Kyung Eun-ShinSeung Chan dari Korea Selatan yang mendapat 'bye' di pusingan pertama.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain