suria

Shariz Efendi Bakal Terlepas Kejohanan Berbasikal Asia

KUALA LUMPUR: Pelumba trek elit negara, Muhamad Shariz Efendi Mohd Shahrin bakal terlepas Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di India, Februari depan kerana mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat kemalangan langgar lari baru-baru ini.

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley berkata tahap kecederaan Muhamad Shariz tidak begitu serius dan dia kini beransur pulih.

"Dia terlibat dalam kemalangan langgar lari kira-kira 10 hari lalu. Semasa kejadian motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta.

"Dia mengalami kecederaan kaki yang tidak mengizinkannya untuk beraksi pada kejohanan ACC Februari depan," kata Beasley kepada pemberita selepas majlis tajaan Yayasan Sime Darby (YSD) bernilai RM2.6 juta bagi persediaan enam pelumba muda negara untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada Khamis.

Menurut Beasley, Muhamad Shariz amat kecewa dengan keputusan itu memandangkan beliau merupakan pelumba terpantas dalam kalangan enam atlet yang terpilih untuk menyertai latihan di Melbourne di bawah program Road To Tokyo Olympic 2020 tajaan YSD.

"Fokus utama sekarang adalah membiarkannya kekal positif kerana dia amat kecewa. Oleh itu saya berharap pasukan perubatan boleh membantunya pulih dengan segera," kata Beasley.

Pada masa sama, Beasley turut memberi jaminan bahawa beliau akan memberi sepenuh sokongan kepada pelumba muda itu untuk segera pulih dan membantunya kembali cergas. 

"Ini hanyalah masalah kecil. Kami akan bantu anda kembali cergas atau jadi lebih baik dari sekarang. Jadi anda perlu fokus dan ikut segala nasihat pasukan perubatan," katanya.

Sementara itu, Beasley turut yakin dengan keupayaan pelumba senior, Fatehah Mustapa untuk menaiki podium pada kejohanan tersebut.

"Agak sukar untuk capai sasaran pertama naik podium dengan persediaan dalam tempoh 12 minggu. Namun saya harapkan persembahan terbaik dan melihat kepada prestasinya ketika ini, dia seharusnya naik podium," katanya.

Artikel Lain