PENGURUS Manchester United Jose Mourinho berkata Wayne Rooney mungkin sukar menangani kritikan yang dilemparkan terhadapnya sejak kebelakangan ini. Rooney memohon maaf di atas gambar keterlaluan yang menunjukkannya dalam keadaan mabuk semasa menghadiri majlis perkahwinan di hotel pasukan England. "Walaupun anda membina tembok di sekeliling anda untuk melindungi diri sendiri daripada apa yang ditulis atau difikir orang lain, ia pastinya tidak kukuh. "Kita manusia biasa, jadi ia akan memberi kesan," kata Mourinho. United akan melayan kunjungan Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford pada malam Sabtu. Red Devils kini menduduki tangga keenam, ketinggalan enam mata di belakang Arsenal yang berada di kedudukan keempat. Rooney, 31, kembali berlatih pada minggu ini selepas pulih daripada kecederaan lutut yang memaksanya digugurkan dari skuad England ketika bertemu Sepanyol di Wembley pada Selasa lalu. Mourinho mengelak untuk mengulas mengenai tindakan Rooney yang berada di bar sebuah hotel dalam keadaan mabuk beberapa jam selepas England menundukkan Scotland 3-0 pada kelayakan Piala Dunia, Jumaat. Timbul khabar angin bahawa Rooney dan beberapa pemain England yang lain keluar sehingga lewat malam selepas diberi pelepasan oleh pengurus sementara, Gareth Southgate untuk berehat pada malam tersebut. "Jika anda teliti satu persatu, untuk melihat kesemua 23 pemain, ada di antara mereka berada di tempat lebih teruk daripada bar hotel," kata Mourinho. Persatuan Bola Sepak England (FA) enggan memberikan komen mengenai pemain lain walaupun pemain pertahanan Everton, Phil Jagielka dilihat ada bersama Rooney.