PENGURUS Leicester City, Claudio Ranieri yakin skuadnya boleh terus mencipta kenangan baharu setelah berjaya menjejak kaki ke pusingan kalah mati aksi Liga Juara-Juara Eropah.
The Foxes mara ke pusingan 16 kelompok terbaik selepas Shinji Okazaki dan Riyad Mahrez mengatasi satu gol yang dilakukan Club Brugge sekaligus menguasai kedudukan teratas Kumpulan G.
"Percayalah, ia tidak penting dengan siapa Leicester akan bertemu (dalam kelompok 16 pasukan) kerana bagi saya mara ke saingan ini sudah cukup bagus.
"Kalah atau menang, ia tetap akan menjadi catatan sejarah pasukan.
"Namun ia sukar untuk percaya bahawa kami berada di kemuncak pasukan. Saya sangat gembira dan bangga dengan semua pemain, pengerusi dan juga penyokong-penyokong kelab.
"Mara ke pusingan kalah mati ini adalah satu perjalanan berbeza. Kini fikiran kami kembali ke saingan Liga Perdana. Saya mahu pemain-pemain kembali fokus untuk aksi liga ini.
"Kami kini agak hampir dengan zon penyingkiran dan dengan itu mereka perlu bermain seperti aksi di Liga Juara-Juara," ujarnya.
Leicester kini menduduki tangga ke-14 liga dengan kutipan 12 mata daripada 12 perlawanan setakat ini.