GEORGE TOWN: Mohd Faiz Subri telah memainkan peranannya untuk meletakkan Malaysia dalam peta bola sepak dunia. Sekarang, penyerang skuad Harimau Kumbang itu mengharapkan undian rakyat Malaysia untuk menyenaraikannya dalam kelompok tiga terhebat dunia. Penyerang berusia 29 tahun itu dicalonkan bagi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016 bersama sembilan yang lain termasuk bintang Barcelona, Lionel Messi dan Neymar. Gol sepakan percuma knuckleball yang dijaringkan Mohd Faiz diangkat sebagai 10 gol menarik pernah dijaringkan dari 30 September 2015 hingga 30 September lalu. Pemain kelahiran Kedah itu merupakan pemain Malaysia pertama disenarai pendek dalam kalangan 10 calon akhir bagi anugerah tersebut. Beliau merupakan satu-satunya pemain dari Asia di kalangan 10 calon akhir tersebut. Peminat bola sepak boleh mengundi secara dalam talian gol pilihan mereka di http://fifa.to/Puskas sehingga 2 Disember ini. Hanya tiga gol dengan undian tertinggi akan mara ke pusingan kedua dan pusingan akhir undian. Gol yang mendapat undian tertinggi akan menerima anugerah Puskas pada majlis penyampaian anugerah tersebut di Switzerland pada 9 Januari depan. "Saya sudah menjalankan peranan saya. Kini segalanya terpulang kepada penyokong bola sepak seluruh dunia untuk membuat pilihan mereka. "Saya harap rakyat Malaysia akan memberikan sepenuh sokongan dengan mengundi gol saya. Andai kata saya tidak menang, saya tidak akan kecewa. "Dicalonkan dalam senarai 10 gol terbaik FIFA buat pertama kali sudah jadi satu kebanggaan... bukan sahaja kepada saya tetapi untuk seluruh negara," katanya.