LONDON: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho dibuang padang buat kali kedua dalam tempoh sebulan ketika menentang West Ham United pada perlawanan yang berlangsung pada Ahad. Lebih menyedihkan apabila pasukan tuan rumah itu sekadar meraih seri 1-1 pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris. Pada akhir bulan lalu, Mourinho diarah ke tempat duduk penonton pada separuh masa kedua menentang Burnley dalam aksi di Old Trafford selepas didapati mengeluarkan bahasa tidak sopan terhadap pengadil Mark Clattenburg. Paul Pogba dilayangkan kad kuning oleh pengadil Jonathan Moss. Kali ini kesalahan Mourinho adalah kerana menendang botol air dari garisan tepi padang pada minit ke-27 apabila pengadil melayangkan kad kuning kepada Paul Pogba. Pengadil Jon Moss sebelum ini turut mempunyai sejarah dengan Mourinho. Beliau juga bertanggungjawab menghantar Mourinho ke tempat duduk penonton ketika menentang West Ham kerana mengeluarkan kata-kata kesat ketika beliau menjadi pengurus Chelsea pada November tahun lalu. United kini di tangga keenam - ketinggalan lapan mata untuk berada di kedudukan empat teratas.