PETALING JAYA: Pemain golf profesional ASEAN termasuk 10 pemain terbaik Malaysia sudah tentu mengidamkan sesuatu pada Kejohanan Golf Maybank 2017, daripada sekadar menjadi "peserta' pada kejohanan antarabangsa itu. Berikutan pengenalan kategori baharu ASEAN pada edisi tahun depan, yang dijadual dari 9 hingga 12 Feb di Saujana Golf and Country Club di Subang, pemain terbaik rantau ini perlu bersaing dalam kalangan mereka untuk meraih gelaran pemain terbaik ASEAN buat pertama kali pada kejohanan tersebut. Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Noh berkata pengenalan kategori baharu itu adalah berikutan peningkatan prestasi pemain golf profesional di negara-negara rantau ini, di mana bank berkenaan beroperasi. "Standard golf semakin berkembang di rantau ini. Prestasi pemain cepat meningkat dengan begitu banyak peluang bersaing dengan pemain terbaik dunia, dan pada kejohanan ini, lebih ramai pemain golf rantau ini akan berentap dengan pemain elit dunia. "Kejohanan bersama Jelajah Asia/Eropah itu sudah terbukti rekodnya dalam melahirkan jaguh golf dunia pada masa hadapan, dan saya menjangka kejohanan tahun depan dapat mencipta lagi kejutan," katanya pada sidang media kejohanan berkenaan di sini Selasa. Kejohanan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan US$3 juta (kira-kira RM13.38 juta) itu akan menyaksikan pemain golf terbaik dari Malaysia, Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Vietnam, bersaing dengan pemain terbaik dunia, termasuk juara lima kali Jelajah Eropah, Danny Willett. Megat Zaharuddin berkata pemain-pemain akan dipilih oleh Persatuan Golf Profesional (PGA) negara masing-masing berdasarkan Order of Merit jelajah tempatan mereka, serta Jelajah Asia, Jelajah Pembangunan Asia (ADT) dan Ranking Dunia. Sementara itu, pemain Malaysia yang beraksi di Sukan Olimpik Rio, Gavin Kyle Green yang gembira dengan pengumuman tersebut, mahu lebih tenang dan bijak selepas gagal menyerlah pada edisi pertama kejohanan berkenaan tahun lepas. "Pada tahun lepas, saya lebih tertekan dan meletakkan harapan tinggi namun segalanya tidak menjadi. Saya tahu kemampuan saya sekarang, dan saya akan membuat persediaan yang baik," kata pemain berusia 22 tahun itu. Bagi juara bertahan Masters, Danny dari England, yang merupakan anggota Pasukan Eropah yang muncul juara Piala EuroAsia di Glenmarie Golf and Country Club pada Januari tahun ini, bertekad menampilkan prestasi terbaik pada kejohanan itu tahun depan selepas berkongsi di tempat ke-45 pada edisi tahun ini. - BERNAMA