suria

Piala Liga Inggeris: Pemain Termuda Bantu Liverpool Ke Separuh Akhir

Ben Woodburn (kiri) menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakan sepasukannya. -fotoREUTERS
LIVERPOOL menempah tiket separuh akhir Piala Liga Inggeris selepas menundukkan Leeds United 2-0 di Anfield, awal pagi Rabu.

Salah satu gol Liverpool hadir menerusi Ben Woodburn, pemain berusia 17 tahun, sekali gus menjadikannya sebagai pemain termuda meledakkan gol buat The Reds.

Woodburn memecahkan rekod Michael Owen yang dilakukan pemain legenda itu pada 1997.

Ketika menyumbat gol dalam perlawanan ini, Woodburn berusia 98 hari lebih muda berbanding Owen.

Woodburn masuk menggantikan Kevin Stewart pada minit ke-67.

Perlawanan ini adalah yang kedua bagi dirinya selepas pada Sabtu lalu turun dua minit dalam perlawanan menentang Sunderland.

Liverpool mendahului Leeds apabila Divock Origi menjaringkan gol pertama pada minit ke-76. Penyerang dari Belgium itu memanfaatkan umpan Trent Alexander Arnold, seorang lagi pemain muda berusia 18 tahun.

Origi diberi kepercayaan oleh pengurus Juegen Klopp apabila tampil impresif minggu lalu dengan menyumbangkan satu dari dua gol kemenangan 2-0 ke atas Sunderland.

Woodburn kemudian menggandakan keunggulan pasukannya pada minit ke-81 dengan membolosi gawang lawan selepas memanfaatkan bola hasil kerjasama Origi, Saido Mane dan Giorginio Wijnaldum.

Ini merupakan kali ke-17 Liverpool layak ke separuh akhir Piala Liga Inggeris.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, Hull City mencipta sejarah baharu dalam Piala Liga Inggeris apabila buat pertama kalinya layak ke separuh akhir selepas menyingkirkan Newcastle United.

Hull menang 3-1 menerusi penentuan penalti.

Penjaga gol Hull, Eldin Jakupovic menjadi wira dalam kemenangan pasukan ini kerana berjaya menahan dua tendangan pemain lawan, selain dua pemain lain gagal menyempurnakan tendangan mereka.

Piala Liga Inggeris, EFL, suku akhir

Artikel Berikut

Keputusan Piala Liga Inggeris

Artikel Lain