suria

Penderaan Seksual: Bekas Pemain Newcastle Mahu Bunuh Jurulatih

Bell berniat untuk membunuh jurulatih yang melakukan penderaan seksual ke atasnya.

BEKAS pemain Newcastle, Derek Bell mendedahkan bahawa dia mahu membunuh lelaki yang melakukan penderaan seksual ke atasnya ketika zaman remaja.

Bell memberitahu, dia didera pada usia 12 dan 16 tahun oleh jurulatih George Ormond ketika bermain untuk kelab bola sepak Montagu dan North Fenham pada tahun 1970-an.

Namun dia tidak lagi bertemu dengan jurulatih itu sehinggalah Bell berdepan dengan masalah kecederaan dan terpaksa meninggalkan kerjaya sebagai pemain senior seniornya. Dia kemudian bekerja di Majlis Perbandaran Newcastle, Bahagian Perumahan, dan di sinilah kenangan pahit Bell kembali mengganggunya apabila secara tidak sengaja ternampak Ormond.

Sebelum ini, Guardian pernah melaporkan bahawa Bell ternampak Ormond bersembunyi di sebalik pokok berdekatan dengan asramanya dan pemain-pemain muda lain yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan.

"Beberapa tahun saya tinggal di neraka. Dan apabila ternampak Ormond, darah saya tiba-tiba naik ke kepala. Selepas itu saya terus balik ke rumah terfikir untuk membunuh lelaki itu.

"Saya tidak sanggup lagi untuk hidup, di mana-mana sahaja saya terbayangkannya..apabila mengingatkan kembali perkara itu, ia membuatkan saya mahu membunuhnya.

"Saya pergi ke rumahnya dengan membawa sebilah pisau berukuran 12 inci yang disembunyikan dalam poket sebelum menendang pintu rumah Ormond.

"Namun dia amat bertuah kerana tidak ada di rumah ketika itu. Saya mencari di sekeliling rumahnya,tetapi gagal bertemu dengan Ormond.

"Ketika saya keluar dari rumah itu, beberapa jiran ternampak apa yang berlaku dan mereka bertanya,"Apa yang kamu buat? ', dan saya terus meninggalkan rumah itu selepas menjawab 'beberapa perkara'."

Namun selepas itu Bell mengambil keputusan untuk membawa Ormond ke muka pengadilan dan akan membuat rakaman tersembunyi percakapannya.

"Saya terpaksa memberitahu kepada kawan-kawan mengenai perkara ini kerana sudah terlalu lama menyimpannya.

"Dan saya terharu kerana mereka telah memberi semangat sambil berkata; 'Baik, kita akan lakukan sesuatu terhadap perkara ni'. Tetapi saya memberitahu mereka, 'Tidak, saya yang akan buat sesuatu mengenainya'.

"Jadi selepas beberapa hari kemudian, saya sekali lagi pergi ke rumahnya, seawal pukul 8 pagi, Ahad.

"Saya mengetuk pintu rumah Ormond dan dalam pada itu pita rakaman sudah berada di dalam poket. Saya terus menanyakan beberapa soalan kepadanya - kenapa, kenapa, apa yang membuatkan dia terus mendera, mengugut, menyogok, dan berbuat baik dengan keluarga saya?.

"Dia meminta maaf lebih daripada sekali. Dia hanya memberitahu: "Saya tidak tahu kenapa'. Namun soalan utamanya ialah 'kamu tidak akan memberitahu polis kan?'"

Selepas lebih kurang 20 tahun menjadi jurulatih di Montagu dan North Fenham, Ormond menerima tugas di Newcastle pada tahun 1990-an selama tiga tahun.

Pada tahun 2002, Ormond disabitkan dengan kesalahan melakukan serangan lucah dan dia telah dipenjara selama enam tahun.

Jelas Bell: "Ia bukan untuk diri saya sahaja, tetapi merupakan jalan untuk memberi kesedaran kepada mangsa-mangsa (penderaan seksual).

"Saya telah berdepan dengan sistem mahkamah (kehendak saya sendiri) dan menolong sesiapa sahaja yang menjadi mangsa supaya tampil dan turut  memberi sokongan agar mereka berbuat demikian.

"Perlu berani dan jangan malu. Jangan berdiam diri. Saya akan bantu dalam apa sahaja cara- sila telefon NSPCC atau PFA, memberitahu ibu bapa atau laporkan kepada pihak kelab."

NSPPC merupakan talian bantuan kepada mereka yang pernah menjadi mangsa penderaan seksual ketika menyertai kelab bola sepak remaja atau kanak-kanak sebelum ini.

Artikel Lain