PENGURUS Chelsea, Antonio Conte merancang untuk mengetepikan John Terry daripada skuadnya dalam tempoh dua musim perpindahan pemain mula dibuka. Perancangan itu dibuat selepas Conte sudah menemui pemain pertahanan yang dikehendaki di Stamford Bridge sejak awal musim ini, malah pemain itu turut membantu meletakkan The Blues di puncak liga setakat ini. Pengendali dari Itali itu mahu menambah barisan pemain pertahanan yang baharu menjelang tempoh perpindahan pemain pada Januari dan pertengahan musim depan. Conte dijangka akan menggunakan khidmat pemain Juventus, Leonardo Bonucci serta Antonio Rudiger dari Roma. Sementara itu, Terry masih lagi berdepan dengan kecederaan dan tidak berada dalam skuad utama ketika Chelsea mencatat tujuh kemenangan sekaligus mengukuhkan perancangan yang diingini Conte. Malah kemunculan Kurt Zouma yang berada dalam senarai sebelas pemain utama membuatkan peluang Terry untuk kembali ke posisinya semakin samar. Dengan itu, Terry perlu membuat persediaan lebih awal mencari kelab lain sekira ingin terus bergelar pemain. Terry bakal menjadi pemain bebas selepas kontraknya berakhir musim ini. Akhir musim lalu, Terry bersetuju untuk menyambung kontrak selama 12 bulan dan menerima separuh gaji yang diterimanya sebelum ini sebanyak 140,000 pound (RM783, 983) seminggu.