PETALING JAYA: Pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri berjaya mara ke pusingan kedua Anugerah Puskas bersama dua lagi finalis iaitu, Marlone (Brazil) dan Daniuska Rodriguez (Venezuela). Keputusan tiga terbaik itu diumumkan di laman rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) www.fifa.com, Jumaat malam. Pengumuman finalis tersebut menyaksikan Mohd Faiz berjaya mengetepikan calon-calon bintang bola sepak lain pada pusingan awal termasuk Lionel Messi dan juga Neymar. Anugerah Puskas diperkenalkan Fifa pada 2009 ialah anugerah khas untuk gol terbaik daripada puluhan ribu jaringan gol sepanjang tahun. Pemenang akan diumumkan pada majlis Anugerah Terbaik Fifa pada 9 Januari 2017. Sebagai rekod, Mohd Faiz membuat melakukan sepakan percuma ajaib ketika aksi Liga Malaysia ketika pasukannya, Pulau Pinang bertemu Pahang dalam jarak 32 meter. Sepakan luar biasa itu menjadi fenomena bukan sahaja di dalam negara, malah menjadi perhatian seluruh dunia. Malah ia turut dianggap sebagai sepakan lencong lebih hebat berbanding pemain legenda Brazil, Roberto Carlos ketika menentang Perancis pada 1997.