ARSENAL mengesahkan Santi Cazorla akan menjalani pembedahan buku lali minggu depan dan dia terpaksa direhatkan selama tiga bulan. Pemain tengah itu mengalami kecederaan itu ketika menentang Ludogorets pada saingan Liga Juara-Juara, Oktober lalu. Sejak dari itu, kecederaan tersebut turut menjejaskan tahap kecergasannya. "Pasukan perubatan dan doktor pakar memutuskan pembedahan perlu dilakukan pada tendon plantaris di kaki kanan pemain antarabangsa Sepanyol itu. "Semua orang di dalam pasukan akan bekerja keras bersama Santi untuk memastikan dia kembali beraksi secepat mungkin," menurut kenyataan yang dikeluarkan Arsenal. Santi dijangka terlepas 14 perlawanan Liga Perdana Inggeris jika terpaksa berehat selama tiga bulan. Malah peluangnya untuk mewakili Arsenal pada saingan kelompok 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara juga masih samar susulan kecederaan itu yang memerlukan masa untuk pulih.