SALAH seorang pemain Chapecoense, kelab dari Brazil yang terselamat dalam nahas pesawat terhempas di Colombia pada Isnin lalu kini semakin pulih dan akan meneruskan kariernya, kata bapa pemain itu. Helio Hermito Zampier Neto, 31, yang juga pemain pertahanan Chapecoense dilaporkan stabil selepas selamat menjalani pembedahan di bahagian paru-paru, lutut, pergelangan tangan dan kepalanya. Lima penumpang lain turut terselamat dalam nahas yang menggorbankan 71 nyawa. Pihak berkuasa Colombia berkata terdapat bukti kukuh menunjukkan pesawat itu kehabisan bahan api. Miguel Quiroga, juruterbang pesawat jenis Avro RJ85 itu telah menghubungi seorang pegawai di lapangan terbang Santa Cruz di Bolivia, lokasi pesawat itu berlepas bahawa pesawat yang diterbangkannya tidak cukup bahan api, lapor akhbar Bolivian Deber. Walaupun bimbang dengan perkara itu, juruterbang tersebut tetap meneruskan perjalanan ke Medellin. Namun pihak berkuasa negara itu masih belum memberikan sebarang komen. Keadaan pesawat yang terhempas. Dalam satu rakaman perbualan yang bocor, juruterbang boleh didengar memberi amaran bahawa berlaku 'kegagalan elektrik sepenuhnya' dan 'kehabisan bahan api'. Pesawat itu terlepas mengisi bahan api di Cobija, sempadan antara Brazil dan Bolivia kerana lapangan terbang tersebut tidak beroperasi pada waktu malam. Namun juruterbang ada pilihan untuk mengisi bahan api di Bogota tetapi tidak melakukannya dan meneruskan penerbangan ke Medellin. Seorang lagi kru kapal, Ximena Suarez turut berada dalam keadaan stabil. Empat lagi mangsa lain masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Bapa Neto, Helam berkata, tanda-tanda anaknya semakin pulih meniup semula semangat dan harapan keluarga mereka. "Anak saya semakin beransur pulih. Dia baharu saja menjalani pembedahan kaki dan doktor kata dia boleh kembali beraksi. "Kami hanya mampu berdoa dan mahu dia keluar dari hospital dengan segera kerana kami mahu melihat keadaannya secara dekat," kata Helam. Doktor turut mengesahkan penjaga gol berusia 24 tahun, Jakson Ragnar Follmann tidak akan kehilangan kaki kirinya selepas sebelah lagi kakinya terpaksa dipotong. Seorang lagi pemain pertahanan, Alan Ruschel, 27, telah menjalani pembedahan tulang belakang tetapi pergerakannya tidak terjejas. Wartawan Rafael Henzel turut dilaporkan dalam keadaan stabil.