suria

Sukan Jadi Wadah Rangsang Rasa Bangga Rakyat Terhadap Negara - PM

Najib (tiga, kiri) melihat dari dekat model stadium yang akan dibina ketika majlis Pelancaran Arena Larkin dan Stadium Olahraga Mount Austin, Isnin. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri). fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Datuk Seri Najib Najib Tun Razak menyifatkan sukan sebagai wadah yang dapat mencetuskan rasa bangga masyarakat pelbagai kaum dan agama terhadap negara.

Perdana Menteri berkata ia terbukti apabila jutaan rakyat Malaysia terpaku di hadapan kaca televisyen untuk melihat Datuk Lee Chong Wei cuba merangkul emas Olimpik pertama negara pada aksi final dengan pemain China, Chen Long, pada Sukan Olimpik Rio 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos lepas.

"Inilah rakyat Malaysia yang suka dan minat pada sukan dan ingin melihat sukan negara berjaya di peringkat dunia," kata beliau ketika berucap pada pada majlis pelancaran Arena Larkin dan Stadium Olahraga Mount Austin, di sini Isnin.

Justeru, katanya, pembangunan dua kemudahan sukan itu kena pada masanya, seiring dengan pembangunan Johor.

Arena Larkin yang meliputi kawasan seluas 42.08 hektar dan dibangunkan oleh Johor Corporation (JCorp) itu melibatkan pembinaan Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Kolam Renang MBJB yang dinaik taraf sert Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.

Melibatkan kos RM350 juta itu, Arena Larkin itu dijangka siap pada tahun 2020.

Sementara itu, Stadium Olahraga Mount Austin akan dibangunkan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor dengan kos RM89 juta dan dijangka siap sebelum Johor menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2020. - BERNAMA

Najib Tun Razak, sukan

Artikel Lain