PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenaan menyerahkan RM15,000 kepada penyerang Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri di atas pencapaiannya tersenarai antara tiga finalis bagi Anugerah Puskas 2016. Beliau yang juga penaung Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berkata, wang tersebut diberikan kepada Faiz kerana beliau telah mengharumkan nama negara. Pada masa sama, Tunku Ismail turut menafikan pemberian khas itu ada kaitan dengan spekulasi Faiz akan berhijrah ke JDT musim depan. "Kurniaan ini diberikan adalah sebagai penghargaan diatas kejayaan beliau yang telah mengharumkan nama negara. "Ia tidak ada kaitan mengenai spekulasi ke JDT untuk saingan Liga Malaysia musim depan. Selamat maju jaya diucapkan buat Faiz Subri!," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Pfam pada Selasa. Mohd Faiz mencipta sejarah apabila tersenarai dalam kelompok tiga terbaik yang diumumkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada malam Sabtu lalu. Kejayaan itu membuktikan jaringan yang dihasilkan oleh Faiz amat berkualiti kerana pemain yang menyarung jersi Pulau Pinang tersebut mengetepikan bintang terkemuka seperti Lionel Messi dan Neymar. Selain Faiz, pemain Brazil yang beraksi untuk kelab Corinthians, Marlone dan wakil tunggal wanita dari Venezuela, Daniuska Rodriguez turut menempatkan diri dalam kedudukan tiga terbaik. Pemenang bagi anugerah tersebut bakal diumumkan di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan.