GOL babak kedua dari Henrikh Mkhitaryan dan Zlatan Ibrahimovic sudah cukup membuatkan Manchester United mara ke peringkat 32 pasukan terakhir dalam saingan Liga Europa. Dalam perlawanan menentang pasukan Zorya Luhansk di Stadium Odessa, Ukraine awal pagi Jumaat, Mkhitaryan dan Ibrahimovic membuat jaringan pada minit ke-48 dan 89'. Bagaimanapun, kelab di bawah pimpinan Jose Mourinho itu menamatkan kedudukan pada tangga kedua dalam Kumpulan A liga, di belakang Fenerbahce. Mkhitaryan membuka perlawanan babak kedua menerusi jaringan pada tiga minit pertama. Ia sekaligus menjadikan gol pertama buat pemain kelahiran Armenia itu dalam 11 permainan sejak penghijrahannya dari kelab Borussia Dortmund pada musim panas. Paul Pogba pula membantu Ibrahimovic dengan lontaran yang sangat kemas untuk jaringan kedua pada minit ke-88. Ia merupakan gol ke-13 buat pemain kelahiran Sweden itu pada musim ini, dan juga ketujuh dalam enam permainan terakhirnya. - Eurosport