PENYERANG muda Liverpool, Divock Origi mendedahkan dia pernah menolak tawaran Manchester United ketika masih bergelar sebagai pemain remaja. Menurut pemain berusia 21 tahun itu, dia menerima tawaran tersebut daripada Red Devils ketika berumur 15 tahun, sebaliknya memilih kelab Perancis, Lille. Malah Origi turut menolak peluang untuk menyertai Bayern Munich dan menyertai Liverpool pada 2014. "Saya memulakan karier ketika menyertai pasukan kebangsaan bawah 16 tahun. "Ketika itu, ramai peninjau bakat dari kelab besar bertemu dengan ayah saya. Saya mengetahui beberapa kelab besar dari Itali, Jerman dan England termasuk Manchester United mahu mendapatkan khidmat saya. "Saya kemudiannya memilih Lille sebagai destinasi kerana di situ bintang Chelsea, Eden Hazard mengembangkan kariernya sehingga menjadi pemain bertaraf dunia," katanya. Origi turut mendedahkan sebab utama dia memilih Liverpool untuk meningkatkan lagi kualiti permainannya. "Banyak tawaran yang saya terima termasuk Bayern Munich tetapi apabila tiba di Liverpool, saya tertarik dengan kemudahannya dan bersemuka dengan Brendan Rodgers (pengurus Liverpool ketika itu. "Saya tahu kelab itu sesuai dengan diri saya. Apabila kami ke Malaysia untuk perlawanan persabahatan, saya dapat melihat bagaimana pemain hebat mengekalkan tahap permainan, sikap profesional dan tanggungjawab mereka," katanya.