suria

Puskas:FAM Taja Isteri, Dua Anak Faiz Ke Zurich

Faiz bersama isteri dan anaknya meraikan kejayaan tersenarai dalam tiga kelompok terbaik bagi anugerah Puskas.

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis mengumumkan akan menaja tiket penerbangan isteri dan dua anak penyerang Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri ke Zurich, Switzerland bagi menghadiri Majlis Anugerah Bola Sepak Fifa 2016 pada 9 Januari depan.

Selaku tiga calon akhir selain Marlone, 24 yang juga pemain tengah kelab Brazil, Corinthians dan Daniuska Rodriguez, pemain skuad wanita bawah 17 tahun (B-17) Venezuela yang akan merebut Anugerah Puskas Fifa 2016, kehadiran Faiz, 29, ke Zurich ditaja sepenuhnya Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, penajaan itu sebagai menghargai kejayaan Faiz mencipta sejarah bergelar pemain bola sepak pertama Malaysia tercalon bagi anugerah tahunan gol tercantik dunia itu sekali gus mengharumkan nama negara.

Jelas Hamidin, badan induk bola sepak negara itu akan menaja tiga tiket penerbangan kelas perniagaan kepada isteri Faiz, Norzawanis Hashim, 29, serta dua anaknya, Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan yang berusia lapan bulan.

"Selain isteri dan dua anaknya, Faiz akan turut ditemani wakil FAM iaitu Timbalan Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah.

"FAM juga sudah menerima surat rasmi daripada Fifa berhubung butiran lengkap aktiviti dan program sepanjang majlis anugerah berkenaan," katanya.

Hamidin berkata, Faiz bersama-sama isteri, dua anaknya dan Afandi dijadual berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 10.15 pagi, Ahad, 8 Januari 2017.

Mereka dijangka tiba di tanah air pada 11 Januari 2017 kira-kira 3.15 petang.

Sebelum ini, mStar Online pernah mengetengahkan isu berkaitan penajaan keluarga Faiz untuk ke Zurich menerusi Naib Presiden FAM, Datuk Takiyuddin Hassan dan pemimpin persatuan itu mengakui FAM wajar menaja perjalanan mereka kerana pencapaian pemain skuad Harimau Kumbang itu membanggakan negara.

"FAM ingin sekali lagi mengucapkan selamat maju jaya kepada Mohd Faiz dan buat peminat bola sepak seluruh dunia, khususnya di Malaysia, teruskan mengundi di fifa.com/Puskas sehingga 9 Januari 2017.

"Ia bagi memastikan satu lagi sejarah akan tercipta dengan Mohd Faiz muncul pemain pertama dari Malaysia dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puskas FIFA," kata Hamidin.

Faiz melakukan jaringan gol yang disifatkan 'melanggar hukum fizik' itu pada 16 Februari 2016 ketika perlawanan Liga Super antara Pulau Pinang dan Pahang.

Gol menarik itu bukan saja menarik perhatian peminat bola sepak tempatan, malah turut membuka mata peminat bola sepak seluruh dunia.

Ia dibuktikan apabila video gol pencalonan berkenaan di laman YouTube oleh FIFATV mendahului sembilan calon lain dalam senarai awal pencalonan.

Mohd Faiz Subri, Puskas, FAM, Fifa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain