KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kalah mengejut kepada pemain Denmark, Viktor Axelsen pada perlawanan akhir peringkat Kumpulan B Siri Super Dunia Akhir di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jumaat malam. Kekalahan 14-21, 21-14, 21-19 kepada Axelsen itu sekaligus menyekat kemaraan pemain nombor satu dunia itu untuk beraksi di saingan separuh akhir Siri Super Dunia edisi kali ini. Axelsen bersama-sama pemain Korea Selatan, Son Wan Ho mara ke separuh akhir selepas berada dalam kedudukan dua pemain terbaik selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan, demikian menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org. Pemain dari Pulau Pinang berusia 34 tahun itu sebelum ini tewas kepada Son pada perlawanan pertama dengan mata 10-21, 16-21 sebelum memperoleh kemenangan ke atas Angus Ng Ka Long dari Hong Kong, 21-15, 22-20 dan seterusnya ditunjukkan jalan keluar oleh Axelsen di Kompleks Sukan Hamdan. Sebagai rekod, Chong Wei pernah menjuarai kejohanan Siri Super Dunia sebanyak empat kali pada 2008, 2009, 2010 dan 2013. Dalam pada itu, beregu lelaki pilihan kedua kejohanan, Goh V Shem-Tan Wee Kiong melayakkan diri ke separuh akhir selepas mengalahkan gandingan Li Junhui-Liu Yuchen dari China pada Khamis. Pasangan V Shem-Wee Kiong yang mendapat kemenangan percuma pada perlawanan pertama Kumpulan B setelah beregu Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen menarik diri daripada kejohanan itu, menewaskan Biao Chai-Wei Hong dari Hong Kong, 16-21, 21-13, 22-20, malam ini.