suria

Nur Durriyah Juara Kejohanan Golf Amatur Di India

Nur Durriyah Damian (tengah) bergambar bersama trofi kemenangan sambil diiringi Datuk Rabe'ahtul Aloya Abbas (kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Kesatuan Golf Wanita India, Pauline Singh.

NEW DELHI: Peserta Malaysia Nur Durriyah Damian muncul juara di All India Ladies Amateur Golf Championship di New Delhi pada Ahad, menambah satu lagi trofi berprestij untuknya tahun ini.

Terdahulu beliau merangkul Kejohanan Amatur Taiwan, Terbuka Wanita Amatur Malaysia dan Terbuka Wanita Amatur Thailand.

Pemain Malaysia berusia 21-tahun itu menumpaskan remaja India Diksha Dagar dalam perlawanan cukup mencabar di Delhi Golf Club. 

Nur Durriyah mara ke peringkat akhir selepas mengalahkan peserta Ireland Maria Dunne, di separuh akhir.

Skor pada hujung perlawanan peringkat akhir 36 lubang itu menunjukkan Nur Durriyah menundukkan lawannya 7 and 5 pada lubang ke 31, tetapi pada realitinya perlawanan itu jauh lebih rapat.

"Ini bukan kemenangan mudah memandangkan Diksha bermain dengan begitu cemerlang, saya gembira dapat mengakhiri tahun ini dengan satu lagi kejuaraan," kata Nur Durriyah kepada Bernama.

Datuk Rabe'ahtul Aloya Abbas, Pengarah Eksekutif Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA), berkata bermain di India memberi pengalaman bernilai kepada pasukan Malaysia. 

"Ini pendedahan berguna untuk kita, terutama sistem perlawanannya cukup baik di kejohanan ini," katanya. 

Empat pemain Malaysia menyertai kejuaraan Usha 100th All India Ladies Amateur Golf Championship pada 12-18 Dis itu bersama 12 amatur asing yang lain dan 46 pencabar India. - BERNAMA

Nur Durriyah Damian

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain