suria

Crystal Palace Pecat Alan Pardew

Alan Pardew.

CRYSTAL Palace telah memecat pengurusnya Alan Pardew selepas hampir dua tahun berada Selhurst Park.

Keputusan buruk musim ini menyebabkan Crystal Palace berada di tangga ke-17 Liga Perdana, menghampiri zon penyingkiran dan Pardew dijangka akan menerima bayaran pampasan sebanyak 3 juta euro (RM17 juta).

Pihak kelab dilaporkan terdesak untuk mencari pengganti secepat mungkin dan bakal bertemu wakil Sam Allardyce pada Khamis.

Awal bulan ini Sportmail mendedahkan Palace telah menemui calon paling sesuai sekiranya Pardew gagal mengubah kedudukan dan kini bekas pengurus England itu bakal dilantik secepat mungkin.

Pengerusi kelab, Steve Parish bekata: “Saya amat menghargai rekod yang dicatat oleh Alan sepanjang khidmat sebagai pengurus dan bekas pemain di kelab ini.

“Sepanjang kontraknya di sini, Alan seorang yang sangat berdedikasi dan menjalankan tugas tanpa soalan, malah dia telah mengubah banyak perkara di kelab ini. Kami berharap dia  akan berjaya di masa akan datang.

“Dengan beberapa baki perlawanan dalam masa yang singkat selepas tempoh rehat nanti, kami amat berharap agar dapat mencari pengganti secepat mungkin, tetapi buat masa ini kami tidak mahu bercerita mengenainya.”

Sementara itu, Pardew turut memberi kenyataan mengenai pemecatannya itu di laman web rasmi kelab: “Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberi sokongan luar biasa sepanjang berada di Crystal Palace.

“Secara peribadinya, jutaan terima kasih kepada pemain-pemain yang telah memberi segalanya kepada saya serta Steve Parish dan ahli lembaga kelab.

“Dan jujurnya, perasaan saya terhadap kelab ini amat baik namun agak sedih kerana tempohnya sudah berakhir.

“Saya mengucapkan selamat berjaya kepada semua yang berada di kelab ini termasuk penyokong.

“Dan tidak ada komen lain lagi setakat ini,” jelas Pardew yang mula menguruskan Palace pada Januari 2015.

Sebagai rekod, perlawanan terakhir Pardew menguruskan kelab ini pada aksi tewas 0-1 kepada Chelsea Sabtu lalu.

Palace hanya memenangi satu daripada sebelas perlawanan terakhir liga musim ini dan merekodkan enam daripada 36 aksi sepanjang 2016.

Pardew meninggalkan Palace dengan rekod keseluruhan 73 perlawanan, 25 aksi menang, 13 seri dan tewas 35.

Dia turut menamatkan saingan liga musim lalu di tempat ke-15 dan mara ke final Piala FA, namun tewas 2-1 kepada Manchester United.

Alan Pardew, Crystal Palace

Artikel Sebelum

Keputusan Copa del Rey

Artikel Berikut

Artikel Lain