SELEPAS Carlos Tevez dan Oscar menyertai kelab di China, kini giliran Wayne Rooney pula dipancing untuk berpindah ke negara Tembok Besar itu. Berdasarkan laporan eksklusif portal Mirror, kapten England itu bakal menerima tawaran gaji 750,000 pound (RM4.1 juta) seminggu sekiranya dia bersetuju menyertai Liga Super China pada musim depan. Dua kelab di liga tersebut dilapor berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 31 tahun itu selepas Rooney tidak lagi dijamin untuk membarisi kesebelasan utama Manchester United atau England. Kelab terkaya Liga Super China, Guangzhou Evergrande dan Beijing Guoan menjadikan Rooney sebagai sasaran dengan harapan dapat meningkatkan mutu liga tersebut. Terdahulu, bintang Chelsea, Oscar melengkapkan perpindahan mega ke kelab Shanghai SIPG dengan bayaran bernilai 52 juta pound (RM285 juta) selain dibayar gaji sebanyak 400,000 pound (RM2.1 juta) seminggu. Bekas pemain Manchester United dan Manchester City, Tevez turut mengikut jejak Oscar apabila bakal melengkapkan perpindahan ke kelab Shanghai Shenghua dengan tawaran gaji 615,000 pound (RM3.37 juta) seminggu, sekali gus menjadi pemain menerima gaji tertinggi di dunia. Namun Rooney yang menerima gaji 300,000 pound (RM1.6 juta) seminggu di Manchester United dan memiliki kontrak berbaki dua tahun, mungkin tertarik dengan tawaran Guangzhou Evergrande. Beijing Guoan pernah cuba memancing Rooney pada musim lalu tetapi gagal merealisasikan hasrat mereka itu. Sejak itu, karier Rooney bersama Manchester United dan England dilihat goyah, lebih-lebih lagi pengurusnya, Jose Mourinho memaklumkan penyerang tersebut tidak lagi mendapat jaminan dalam kesebelasan utama. Bagaimanapun Rooney yang bernilai 10 juta pound (RM50 juta) tidak akan berpindah ke kelab lain pada jendela perpindahan Januari depan. Dia hanya kekurangan dua gol untuk memecahkan rekod legenda Manchester United, Sir Bobby Charlton dengan catatan 248 gol setakat ini. Charlton melakar rekod selama 43 tahun dengan 249 jaringan dan Rooney berharap dapat menyamai rekod berkenaan bersama Manchester United.