Kelibat empat atlet paralimpik negara iaitu Mohamad Ziyad Zolkefli, Mohamad Riduan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romly dan Siti Noor Radiah Ismail turut menjadi tumpuan jemaah umrah dari Malaysia di sini.
Keempat-empat mereka kini berada di sini sejak Isnin lepas untuk menunaikan ibadah umrah di bawah tajaan syarikat konglomerat, DRB-Hicom sebagai penghargaan terhadap atlet berkenaan yang telah berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang sukan.
"Saya tidak menyangka yang saya dapat berjumpa dengan Ziyad dan Latif di sini. Saya dapat tahu mereka akan mengerjakan umrah dan saya bertuah berjumpa mereka," kata Muhd Zaki Ibrahim dari Johor Baharu.
Rombongan umrah atlet paralimpik dan keluarga itu pada Rabu dibawa menziarah Masjid Quba dan Bukit Uhud serta beberapa tempat tumpuan jemaah umrah di sini.
Semasa sesi lawatan hari ini, ramai jemaah umrah dari Malaysia yang mengambil kesempatan bergambar bersama mereka.
Bagi ibu Abdul Latif, Salmah Yatim, beliau amat menghargai peluang yang diberikan kepada Abdul Latif dan keluarganya.
"Saya akui memang Latif sudah dikenali ramai tapi Latif lebih suka menyendiri sebab rasa janggal bila terlalu ramai yang mengenali dia," katanya.