KEMENANGAN sembilan perlawanan berturut-turut yang dicatatkan oleh Manchester United belum memadai buat pengurusnya, Jose Mourinho untuk menarik nafas lega mengembalikan prestasi terbaik kelab itu. Sebaliknya menjelang pertemuan dengan seteru tradisi, Liverpool pada Ahad ini merupakan antara ujian paling getir buat Mourinho menghidupkan peluang menempah slot Liga Juara-Juara pada musim depan. Aksi pada Piala Liga awal pagi Rabu ketika menang 2-0 ke atas Hull City pada pusingan separuh akhir pertama, sudah cukup membayangkan kebimbangan pengurus kelahiran Portugal itu yang menyuarakan kekecewaan terhadap persembahan hambar anak buahnya di laman sendiri. Malah selepas perlawanan berakhir, Mourinho tidak teragak-agak untuk menggesa semua pihak termasuk dirinya sendiri agar menampilkan aksi yang lebih baik ketika bertemu pasukan bimbingan Jurgen Klopp. "Pemain perlu lebih berusaha, saya juga perlu berusaha lebih baik dan penyokong juga harus melakukan perkara yang sama. "Kami memainkan peranan untuk menarik perhatian penyokong dalam setiap perlawanan. "Jika kami bermain dengan baik dan bersemangat, penyokong juga akan menampilkan sokongan yang setara. "Perlawanan Ahad ini sangat istimewa buat kami, buat penyokong United, jadi nasihat saya, datang "bermain" dengan kami," katanya. United berada di tangga keenam liga dengan mengumpul 39 mata dipisahkan tiga mata di belakang Manchester City yang berada di tempat keempat dengan 42 mata.