PENGURUS West Ham United Slaven Bilic berkata Dimitri Payet tidak mahu bermain untuk kelabnya, tetapi kelab tidak akan menjual pemain dari Perancis itu. Payet tidak akan menghadiri latihan atau bermain untuk kelab itu dalam perlawanan menentang Crystal Palace, Sabtu. "Kami telah katakan bahawa kami tidak mahu menjual pemain terbaik kami tetapi Payet tidak mahu bermain untuk kami. Dia mahu tinggalkan kelab ini," kata Bilic. "Dia sememangnya menjadi pemain terbaik kami dan sebab itulah kami memberikannya kontrak yang panjang. Kami tidak akan menjualnya. "Saya telah bercakap dengan pengerusi dan ini bukan isu wang. Kami telah berikan kepadanya kontrak yang panjang kerana kami mahu dia kekal." Payet tidak akan mengambil bahagian dalam latihan sambil mengekalkan pendiriannya. Pemain berusia 29 tahun itu telah diberikan kontrak lima tahun pada 2016, dipercayai bernilai £125,000 seminggu. "Saya harap dia akan kembali dan menunjukkan komitmen serta kesungguhan untuk pasukan, seperti mana yang ditunjukkan oleh pasukan ini kepadanya. "Dia mungkin telah dirisik beberapa kelab atau apa sahaja. Itu adalah biasa pada masa ini. Tetapi selagi dia tidak mengubah sikapnya, dia tidak akan bersama pasukan dan tidak akan berlatih bersama kami. "Saya mempunyai satu pasukan untuk diuruskan. Tetapi kami tidak akan menjualnya," katanya. Tetapi pengurus West Ham ini jelas terluka dengan keputusan pemainnya itu. "Pasukan, kakitangan, kami telah berikan kepadanya segala-galanya, kami sentiasa ada untuk dia," katanya. "Saya rasa kecewa. Saya berasa marah. " Payet telah dikaitkan dengan beberapa kelab besar Eropah sejak persembahan menonjolnya musim lalu. Dia juga memainkan peranan dalam membawa Perancis ke perlawanan akhir Euro 2016.