suria

Schlupp Kini Milik Palace

Jeffrey Schlupp.

CRYSTAL Palace berjaya mengikat pemain sayap Ghana, Jeffrey Schlupp dari Leicester City dengan perjanjian dilaporkan bernilai 12 juta pound (RM65.24 juta).

Schlupp muncul pemain berprofil tinggi yang dibawa masuk pengurus baharu Palace, Sam Allardyce selepas bersetuju dengan kontrak empat tahun setengah bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Pemain kelahiran Jerman itu memulakan kariernya bersama skuad remaja Leicester dan membantu kelab itu melakar sejarah luar biasa menjuarai EPL pada musim lalu.

Namun pemain berusia 24 tahun itu kecewa dengan peluang yang diperolehnya untuk berada dalam kesebelasan utama The Foxes musim ini.

Beliau akhirnya memilih untuk meninggalkan Leicester selepas mengetahui bekas bos England, Allardyce meminatinya.

"Saya gembira kerana berjaya mendapatkan khidmat Jeffrey. Dia adalah pemain yang saya kagumi sejak sekian lama.

"Dia pemain berbakat dan amat cergas. Dia akan memberikan sepenuh kekuatan dan pengalaman di posisi pertahanan dan akan menjadi aset penting kepada kelab walaupun baru berusia 24 tahun," kata Allardyce.

Schlupp yang pernah mewakili Ghana sebanyak 12 kali akan membuat penampilan sulung bersama Palace yang bergelut di zon penyingkiran pada perlawanan menentang West Ham, malam Sabtu.


Jeffrey Schlupp, Crystal Palace

Artikel Lain