suria

Adebayor Kembali Perkuat Togo

Emmanuel Adebayor.

MESKIPUN tidak lagi beraksi di England selepas kontraknya bersama Crystal Palace berakhir musim lalu, Emmanuel Adebayor kembali memperkuat skuad kebangsaan Togo pada aksi Piala Negara-Negara Afrika pada Isnin.

Adebayor yang kini tidak terikat dengan mana-mana kelab, dilantik sebagai ketua pasukan Togo ketika berdepan Ivory Coast pada aksi pembukaan peringkat Kumpulan C di stadium baharu di Oyem yang mula dibuka minggu lalu.

Bekas penyerang Arsenal itu mungkin kurang cergas tetapi jurulatih Togo, Claude Le Roy berkata dia masih yakin dengan sentuhan berbisa Adebayor.

"Dia seorang pemain yang luar biasa, dia juga ada status dalam permainan dan ia kunci utama untuk pasukan," kata Le Roy.

Togo akan berdepan Ivory Coast yang diperkuat Wilfried Zaha tapi tanpa kelibat Yaya Toure yang bersara dan Gervinho (cedera).

Dalam satu lagi perlawanan berasingan, Morocco akan bertemu Congo yang di tempat ketiga pada kejohanan tersebut dua tahun lalu.

Morocco dikendali jurulatih Herve Renard yang berjaya menjulang Ivory Coast memenangi kejohanan itu pada 2015.

Senegal merupakan pasukan pertama memenangi perlawanan pada tahun ini apabila menundukkan Tunisia 2-0 pada Ahad selepas aksi pembukaan Kumpulan B membabitkan Algeria dan Zimbabwe sekadar berakhir dengan keputusan seri 2-2.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain