suria

Costa Sedia Tinggalkan Chelsea Hujung Musim

KRISIS melibatkan penyerang berbisa Chelsea, Diego Costa dengan pengurusnya, Antonio Conte semakin serius apabila pemain itu dilaporkan mahu meninggalkan pendahulu Liga Perdana Inggeris tersebut pada hujung musim ini.

Malah menurut sumber yang rapat dengan Costa, pemain kelahiran Sepanyol itu enggan menandatangani kontrak baharu bersama Chelsea dan sedia angkat kaki untuk menyertai kelab lain.

Penyerang berusia 28 tahun itu yang memiliki baki kontrak dua tahun lagi, dikatakan bertelagah dengan Conte dan pasukan perubatan Chelsea pada minggu lalu.

Costa tidak diturunkan ketika The Blues menewaskan juara bertahan, Leicester City pada Sabtu atas faktor kecederaan.

Difahamkan, Conte akan mengadakan perbincangan dengan Costa pada minggu ini untuk meredakan pertikaian tersebut yang boleh menjejaskan usaha Chelsea memburu kejuaraan liga.

Costa memiliki rekod masalah disiplin sejak menyertai Chelsea termasuk bergaduh dengan bekas pengurusnya, Jose Mourinho yang kini membimbing Manchester United.

Selain itu, penyerang tersebut pernah digantung beberapa perlawanan akibat salah laku di dalam padang dan sering mencetuskan pergaduhan.

Pada minggu lalu, Costa menjadi tajuk utama akhbar sukan di Britain apabila dia dilaporkan bakal mengikut jejak bekas rakan sepasukannya, Oscar yang kini beraksi di Liga Super China.

Diego Costa, Antonio Conte, Chelsea

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain