suria

Singapura Jadi Mangsa Belasahan Itali

KUALA LUMPUR: Itali menepati status pasukan pilihan apabila menjuarai Kumpulan A setelah membelasah Singapura 9-0 pada saingan pusingan kedua Liga Hoki Wanita Dunia (WHWL) di Stadium Tun Razak di sini, Selasa.

Selaku pasukan ranking ke-15 dunia, Itali melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan dengan rekod bersih apabila mengumpul sembilan mata maksimum setelah mengalahkan Wales 3-0 dan Thailand 5-0 sebelum mengalahkan Singapura.

Pada saingan suku akhir Khamis ini, Itali akan menentang pasukan tercorot kumpulan B, Hong Kong.

Pada perlawanan dengan Singapura, Itali meneruskan momentum kecemerlangan dengan mendominasi perlawanan apabila membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Wybieralska Agata pada minit ke-17.

Beliau kemudian menambah gol peribadi kedua pada minit ke-49.

Braconi Valentina muncul wira pasukan Itali apabila melakukan jaringan hatrik pada minit ke-44, 40 dan 59.

Gol lain dihasilkan oleh Tiddi Chiara (20'), Mastronardi Eugenia (26'), Garraffo Maria (37') dan Mirabella Dalila pada minit ke-38.

Sementara itu, Wales muncul naib juara kumpulan itu selepas mengalahkan Thailand 3-0.

Wales membuka jaringan apabila Blyth Natalie menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-28 sebelum Bingham Berth menambah jaringan menerusi percubaan sama pada minit ke-50.

Laity Eloise melengkapkan jaringan Wales seminit kemudian menerusi jaringan padang.

Sebelum ini, Wales mengalahkan Singapura 7-0 sebelum tunduk 0-3 kepada Itali.

Ketua jurulatihnya, Kevin Johnson bangga dengan kejayaan menduduki tangga kedua kumpulan dan berharap dapat melangkah jauh dalam kejohanan itu.

"Kami berhasrat untuk pergi jauh dalam kejohanan ini di samping beraksi dengan pasukan kuat seperti Malaysia, Itali dan Thailand," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain