suria

Persefahaman Skuad Tok Gajah Makin Baik - Dollah

KUALA LUMPUR: Pengendali baharu Pahang, Dollah Salleh mengakui skuadnya sudah menampakkan persefahaman yang baik menjelang aksi pembukaan Liga Super pada Sabtu ini apabila bertandang ke Stadium Ipoh untuk menentang Perak.

Bekas jurulatih kebangsaan ini berkata, perubahan yang ketara turut ditunjukkan oleh anak buahnya selepas skuad Tok Gajah melakar kemenangan bergaya ke atas kelab Singapura, Tampines Rovers dalam aksi persahabatan pada minggu lalu.

"Bagi saya semuanya akan lebih mantap menjelang pertemuan bertemu Perak nanti.

"Cuma sekarang saya masih menunggu seorang lagi pemain bagi mengisi slot pemain import yang dalam proses terakhir urusannya.

"Saya boleh katakan petang ini (Rabu) pemain dari Singapura itu akan sampai. Dan jika sebaliknya, saya hanya akan menggunakan pemain yang ada untuk aksi Sabtu ini," kata Dollah tanpa mengulas lebih lanjut pemain import keempatnya itu.

Skuad Dollah sudah dibarisi tiga lagi pemain import iaitu pemain dari Nigeria, Julius Oiboh, Heo Jae-Won (Korea Selatan) dan Mohamadou Sumareh (Gambia).

Dollah, 53, yang pernah membimbing skuad Tok Gajah pada musim 2010-2013, berkata, seperti biasa dia mengharapkan persembahan terbaik pemain untuk melihat kebangkitan Pahang agar mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lain.

Bagaimanapun beliau tidak meletakkan sebarang sasaran buat skuad Tok Gajah bagi mengharungi Liga Malaysia 2017.

"Saya tidak ada sasaran peribadi.

"Setiap jurulatih mahu melihat pasukan sendiri berada dalam posisi baik dan meraih kemenangan dalam setiap perlawanan," jelasnya.

Sebagai rekod, Pahang menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tangga kesembilan keseluruhannya ketika dibimbing oleh jurulatih Razip Ismail.

Dollah Salleh, Pahang FA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain