SHAH ALAM: Pemain senior PKNS FC, Safee Sali mempersoalkan pihak penganjur Liga Malaysia (Liga-M) yang gagal memeriksa Stadium Shah Alam lebih awal hingga menyebabkan pasukannya terpaksa bertukar venue tuan rumah sehingga Mac ini. Bekas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu ternyata tidak berpuas hati apabila masalah berkaitan lampu limpah stadium berkenaan tidak mencapai piawaian 1,500 lux yang ditetapkan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) hanya beberapa hari sebelum sepak mula Liga-M bermula. "Satu kerugian apabila venue bertukar untuk sementara waktu dan mungkin akan beraksi di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut atau bermain pada waktu petang. "Ia melibatkan penyokong-penyokong kelab dan kami mungkin bermain tanpa kehadiran mereka. "Bagi saya, ia satu situasi yang sukar apabila tidak ada penyokong. Manakala kalau beraksi pada waktu petang juga membuatkan keadaan agak berbeza, " jelasnya ketika ditemui selepas pelancaran jersi dan bas PKNS FC pada Selasa. Tambah penyerang kebangsaan ini, masalah tersebut sepatutnya dimaklumkan lebih awal kepada pasukan bagi membuat lebih banyak pilihan. "Last minute macam ni. Kenapa pihak penganjur tidak melakukan pemeriksaan lebih awal atau sebulan sebelum sepak mula? "Saya rasa ada 'something wrong' dengan pihak penganjur. Sepatutnya mereka pergi periksa setiap stadium yang menjadi tuan rumah kepada sesebuah pasukan. "Ini bukan masalah pengurusan stadium atau kelab. Dan ia membuatkan saya agak kecewa dengan permulaan musim ini," ujarnya. Bagaimanapun Safee mengakui, sebagai pemain mereka bersedia dengan apa sahaja keputusan pihak pengurusan kelab. "Saya percaya jurulatih sudah ada perancangan sendiri dalam menghadapi situasi ini," jelas pemain kelahiran Kajang, Selangor itu. Safee,32, yang merupakan muka baharu dalam skuad naib juara Piala FA dan Liga Perdana musim lalu telah mengikat kontrak bersama PKNS FC selama setahun selepas tiga musim berkelana di Johor.