suria

Sze Fei-Nur Izzuddin Terus Cipta Kejutan

Nur Izzuddin Kiri) dan Goh Sze Fei.

SIBU: Pasangan beregu lelaki muda negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin yang mengejutkan pilihan ketujuh pada Rabu, sekali lagimembuktikan kemampuan mereka apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Victor Far East Malaysia Masters di sini, Khamis.

Sze Fei-Nur Izzuddin bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 13-21, 21-12, 21-13, dan akan berdepan gandingan Hong Kong, Mak Hee Chun-Tam Chun Hei yang mengalahkan pasangan Malaysia, Tan Chee Tean-Tan Wee Gieen 21-15, 21-19.

Gandingan muda negara itu akan menyertai pasangan Indonesia, Hendra Aprida Gunawan-Markis Kido yang menumpaskan beregu pilihan ketiga, Manu Attri-B.Sumeeth Reddy dari India 21-17, 18-21, 21-12.

Hendra-Markis akan menentang pasangan Singapura, Terry Hee Yong Kai-Loh Kean Hean dalam satu lagi aksi suku akhir esok. Saingan suku akhir beregu lelaki juga akan menyaksikan pertembungan sesama sendiri pasangan Jepun antara Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe yang berdepan Takuto Inoue-Yuki Kaneko.

Endo-Watanabe mengalahkan Lee Chia Han-Tsai Chia Hsin dari Taiwan 21-13,21-11, manakala Inaoue-Kaneko bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 10-21, 21-11, 21-17. -

Pasangan Hong Kong, Law Cheuk Him-Reginald Lee Chun Hei yang menundukkan Arjun M.R-Ramchandran Shlok dari India 21-14, 21-17, akan berdepan gandingan Indonesia, Berry Angriawan-Hardianto Hardianto selepas rakan senegara mereka Mohammad Ahsan-Rian Agung Saputro memberi kemenangan percuma.

Seperti dalam kategori lelaki, dua pasangan beregu wanita negara turut marake suku akhir iaitu pilihan keempat, Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen dan Chow Mei Kuan-Vivian Hoo.

Yin Loo-Chen Wen yang mengatasi rakan sepasukan Amelia Alicia Anscelly-TeohMei Xing 21-12, 21-11, akan berdepan pasangan Singapura Tan Wei Han-Crystal Wong Jia Ying, manakala Mei Kuan-Vivian Hoo mengalahkan Ng Tsz Yau-Yeung Nga Ting dari Hong Kong 21-9, 21-9. Pilihan utama, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dari Thailand meneruskan kemaraan mereka selepas menewaskan Goh Yea Ching-Woon Khe Wei 21-16,22-20 untuk mara ke suku akhir.

Pasangan pilihan ketiga Keshya Nurvita Hanadia-Devi Tika Permatasari dari Indonesia mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menumpaskan Chin Kah Mun-Yap Zhen dari Malaysia 21-17, 21-15, dan akan berdepan Hsu Ya Ching-Wu Ti Jung dari Taiwan.

Pasangan Hong Kong Poon Lok Yan-Tse Ying Suet pula menewaskan gandingan Indonesia Dian Fitriani-Nadya Melati 21-17, 14-21, 21-14 untuk bertemu pilihan kedua Chiang Kai Hsin-Hung Shih Han dari Taiwan.

Sementara itu dalam acara perseorangan wanita pula menyaksikan Lee Ying Yingmara ke suku akhir selepas mengejutkan pilihan keempat Hsu Ya Ching dari Taiwan21-8, 21-8.

Pemain berusia 19 tahun dari Ipoh, Perak itu akan menentang pilihan kelima Yip Pui Yin dari Hong Kong di suku akhir.

Tiga lagi pemain Malaysia dalam acara perseorangan wanita - Goh Jin Wei,Soniia Cheah dan Lim Yin Fun gagal mara ke suku akhir. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain