ANTONIO Conte mengesahkan bahawa Bournemouth telah membuat bidaan untuk mendapatkan Asmir Begovic dan membayangkan Chelsea sedang mempertimbangkan untuk melepaskan penjaga golnya itu. Bournemouth telah membuat tawaran bernilai £10 juta untuk Begovic, pemain antarabangsa Bosnia, yang tiba dari Stoke dengan harga £8 juta pada 2014. Begovic bagaimanapun hanya tampil dalam empat perlawanan musim ini kerana pilihan pertama Thibaut Courtois dilihat lebih sesuai. Walaupun Conte nampak keberatan melepaskannya pergi, Chelsea dipercayai mungkin akan berminat dengan tawaran yang lebih tinggi jika Bournemouth meningkatkan usaha mereka dengan menawarkan £12 juta atau lebih. Conte berkata: "Kami telah dapat satu tawaran. Sekarang saya dan kelab sedang menilai perkara ini. Kelab dan pemain tahu pendirian saya. Bagi saya, Asmir adalah seorang pemain yang baik. "Dia seorang pemain yang penting bagi saya, di dalam dan luar padang. Seorang pemain yang benar-benar penting. Dia juga mengetahuinya. "Penting untuk mencari penyelesaian tepat buat Asmir, untuk kelab, untuk saya, kerana saya ulangi dia seorang pemain yang benar-benar penting untuk saya, di dalam dan luar padang. Penting untuk mencari penyelesaian tepat sebelum dia pergi." Begovic sedang berfikir tentang hasrat mahu meninggalkan Stamford Bridge bagi mendapatkan lebih banyak peluang bermain sebagai pemain utama dan Bournemouth bersedia menjadikannya pemain nombor 1 di hadapan Artur Boruc.