KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu melahirkan rasa kecewa dan terkilan berikutan tindakan penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 mengumumkan penarikan balik laluan perlumbaan di negeri berkenaan.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata keputusan drastik itu mungkin disebabkan Terengganu tidak turut menjadi penaja perlumbaan itu kali ini, seolah-olah tidak memahami keadaan kerajaan negeri yang perlu berjimat cermat dalam menghadapi keadaan ekonomi pada masa kini.
"Dalam keadaan kegawatan sekarang, kewangan kita terbatas. Tidak sepatutnya keputusan drastik itu diambil oleh penganjur kejohanan tanpa sebarang rundingan.
"Sepatutnya pihak terlibat itu membantu kerajaan negeri. Dengan keputusan itu, mungkin kerajaan negeri akan memikirkan balik soal pembangunan sukan lumba basikal," katanya kepada pemberita semasa mengadakan tinjauan di sekitar kawasan stesen bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini Selasa.
Sehubungan itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan sama ada meneruskan atau tidak penyertaan pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) pada kejohanan berkenaan yang akan berlangsung dari 22 Februari hingga 1 Mac depan.
Beliau berkata selama ini, Terengganu banyak menyokong dan membantu LTdL termasuk memberi sumbangan bagi menjayakan kejohanan lumba basikal berprestij itu di negara ini.
"Nampaknya kita kena fikirkan semula adakah TSG ini patut kita teruskan (bertanding) atau berhenti dan ia diserahkan kepada pihak lain untuk menguruskannya.
"Kita tidak perlu lagi membuang masa dan membuang duit kerana Terengganu sahaja yang bersungguh-sungguh memajukan lumba basikal, tetapi tidak mendapat sokongan daripada pihak lain termasuk untuk membantu mempromosi pelancongan di negeri ini," katanya.
Pasukan TSG membariskan pelumba-pelumba handalan tempatan seperti Anuar Manan, Mohamad Adeq Hussainie, Mohd Harris Salleh, Amir Mustaffar Rosli, Ahmad Fallani Ali, Mohd Zami Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin dan Yusrizal Usoff.
Mengikut jadual asal, LTDL 2017 akan melibatkan dua peringkat perlumbaan di Terengganu iaitu dari Kuala Berang ke Jertih, dan Jertih ke Grik. - BERNAMA