suria

KOM Hantar Pelari Pecut Berlatih Di Johannesburg

Presiden Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Leo Leslie Armstrong (kanan) bersama Karim Ibrahim (kiri) pada sidang media Federal Territory City Day Run 2017 di Wisma OCM. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 atlet pecut negara akan menyertai latihan di Johannesburg, Afrika Selatan pada hujung bulan ini bagi persediaan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos ini.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim berkata atlet pecut itu terdiri daripada olympian Zaidatul Husniah Zulkifli, raja pecut negara Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisham Abdul Manap.

Turut tersenarai Rayzam Shah Wan Sofian, Muhammad Azam Masri, G.AravinnThevar, Shereen Samson Vallabuoy, Nurul Raizah Asma, Komalam Sahlly, Siti Fatimah Mohamad, Muhammad Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa.

KOM akan turut menghantar dua atlet lompat tinggi iaitu Lee Hup Wei dan Nauraj Singh Randhawa menjalani latihan di Sydney, Australia selama dua bulan, katanya kepada pemberita selepas sidang media mengenai acara larian Kuala Lumpur City Day Run 2017 di Wisma OCM, di sini, Khamis.

"Atlet perlu menjalani pemeriksaan di Institut Sukan Negara terlebih dahulu sebelum dibenarkan pergi berlatih di Afrika Selatan manakala Nauraj dan Hup Wei akan berlepas secepat mungkin ke Sydney untuk berlatih bersama jurulatih mereka,Alex Stewart.

"Kami masih meneliti untuk menghantar tiga lagi atlet iaitu Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Iskandar Alwi dan Chuah Yu Tian (lompat bergalah)," katanya Karim berkata atlet ke luar negara bukan sekadar untuk menjalani latihan, tetapi turut bertanding dalam beberapa siri kejohanan sepanjang tempoh mereka berada di sana.

"Paling utama sekali ialah kita mahu mereka menggunakan peluang berlatih diluar negara ini dengan sebaik mungkin dan disebabkan itu kita bukan sekadar menghantar mereka untuk berlatih, tetapi untuk bertanding sekali supaya mereka dapat mengukur tahap prestasi mereka," jelas beliau.

Dalam pada itu, kesemua atlet tersebut akan menyertai satu kejohanan di Eropah apabila memasuki fasa ketiga pemilihan Sukan SEA sebelum bertanding pada kejohanan Terbuka Malaysia yang dijangka berlangsung Mei ini.

Ia merupakan medan terakhir pemilihan atlet sebelum senarai nama akhir atlet yang akan bertanding di Sukan SEA diserahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM). -Bernama

KOM, Olahraga

Artikel Sebelum

Artikel Lain