suria

Usain Bolt Umum Bersara Selepas Kejohanan Dunia 2017

MELBOURNE: Selepas berdepan kontroversi akibat kesalahan rakan sepasukannya hingga terpaksa memulangkan pingat emas Olimpik, Usain Bolt memutuskan akan bersara selepas menyertai Kejohanan Dunia 2017.

Bintang pecut Jamaica itu menegaskan kejohanan di London berkenaan akan menjadi medan terakhirnya sebelum bersara sekali gus menafikan desas-desus dia akan beraksi di Sukan Komanwel 2018.

Bolt, yang melengkapkan gelaran treble tiga kali berturut-turut - 100m, 200m dan 4x100m - di Sukan Olimpik Rio 2016, terpaksa memulangkan semula satu daripada sembilan pingat emas Olimpiknya minggu ini selepas rakan sepasukannya, Nesta Carter didapati positif menggunakan bahan terlarang pada edisi 2008.

Pelari terpantas dunia berusia 30 tahun itu turut mengetuai skuad lari berganti-ganti Jamaica meraih satu-satunya pingat emas Sukan Komanwel 2014 di Glasgow dan penganjur berharap dia melanjutkan kariernya sehingga edisi seterusnya di Gold Coast pada April 2018.

"Untuk beraksi di sini pada tahun hadapan dan menjalani latihan keras untuk berada pada tahap yang mampu membawa kemenangan, ia tidak akan berlaku," katanya di Melbourne.

Bolt akan mengetuai skuad 'All Stars' - gabungan pelari terbaik - dalam siri Nitro Athletics di sini menentang empat lagi pasukan England, China, New Zealand dan Jepun.

Pertemuan pertama dijadualkan bermula esok, dengan baki dua perlumbaan pada 9 dan 11 Februari. - Reuters



Bolt, Olimpik, London

Artikel Sebelum

Kim Swee Timba Ilmu Di London

Artikel Berikut

Artikel Lain